Thursday, June 12, 2008

"AMUK" - Sembang Kedai Kopi

Jam 11.00 pagi baru sahaja lepas balik minum pagi kat kedai depan rumah bersama-sama dengan saudara sepupu saya Hisyam dari Johor (asal NS) dan 2 orang kawannya juga dari Johor (memang berasal dari Johor). Hisyam datang ke rumah dan mengajak saya keluar minum. Sudah lama tak jumpa beliau dan semasa saya bertanding baru-baru ini pun beliau tidak balik kerana kesibukan kerja. Hisyam seorang kontraktor dan kawannya itu juga seorang kontraktor dan yang seorang lagi pemandu lori kontena. Macam-macam cerita keluar semasa kami sedang minum tetapi cerita yang paling menarik adalah cerita “AMUK”.

Cerita amuk ini terbit ekoran dari cerita kenaikan harga minyak. Kawan Hisyam yang kontraktor itu menyatakan kenaikan melampau harga minyak sekarang ini menyebabkan perniagaannya terjejas teruk. Dia menceritakan tentang arwah adiknya Bob dahulu bekerja dengan Petronas dibahagian “Procurement”. Menurutnya, arwah adiknya pernah bercerita dengan beliau bagaimana pembaziran berlaku dalam Petronas dimana skru atau nat yang berharga RM 1.50 yang dijual di kedai-kedai “hardware” telah dijual dengan harga RM 35.00 kepada Petronas. Masalahnya Petronas mengarahkan pula bahagian beliau (arwah) membeli dari pembekal tersebut.

Seorang lagi kawan Hisyam yang menjadi pemandu lori kontena itu juga menceritakan bagaimana masalah kenaikan harga minyak ini telah menyebabkan cita-cita beliau untuk menjalankan perniagaan sendiri telah terbantut. Beliau telah berhenti kerja pada penghujung tahun lepas dan berniat untuk membeli sebiji lori dan mengangkut sendiri barang-barang kargo dari Johor Baru ke Kuantan. Menurut beliau dahulu satu trip minyaknya RM 600 tetapi sekarang satu trip minyaknya telah pun mencecah RM 1000. Jadi kena tangguh dahulu dan fikir masak-masak semula kerana perbezaan RM 400 itu sangat besar, lagi pun banyak lagi kos yang lain seperti tayar, minyak hitam, kerosakan dan harimau-harimau yang menanti di tengah jalan, kata beliau lagi. Jadi sekarang ini beliau mula lah mencari kerja semula sebagai pemandu lori.

Selanjutnya kawan Hisyam si pemandu lori ini, berceritalah bagaimana dia sekarang ini cukup menyampah menengok muka Pak Lah di dalam TV. Bila keluar je muka Pak Lah kata beliau “aku akan tukar rangkaian”, “tak boleh tengok lah brother”, kata beliau lagi. Hati panas dan meruap-ruap bila tengok muka Pak Lah. Lagi satu sekarang saya sudah malas nak dengar berita atau membaca suratkhabar, lagi kalau suratkhabar tu cerita tentang hal minyak, kata beliau lagi. Sampai anak-anak beliau pun hairan kenapa ayah tak nak tengok berita lagi, sedangkan dahulu bergaduh dengan anak-anak pasal kes nak tengok berita, menurut beliau.

Sengaja saya menjolok suasana dengan mengatakan bahawa orang Johor kan semua nya ahli UMNO dan Johor adalah kubu kuat UMNO. Lebih panas lagi apabila saya mengatakan Dato’ Shahrir Samad Ahli Parlimen Johor Baru yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pun menyokong Pak Lah tak kan orang Johor lain nak menderhaka dan menentang arahan UMNO atau pun Dato’ Shahrir. “UMNO tu UMNO juga bang” kata beliau, tapi kalau dah nak cari makan untuk diri sendiri dan anak-anak pun susah tak kan kita nak mempertahankan pemimpin macam Pak Lah lagi, kata beliau yang masih juga nampaknya mempertahankan UMNO dan cuma menyalahkan Pak Lah dalam perkara isu minyak ini.

Orang Melayu ini masih boleh bersabar lagi bang, kalau orang Melayu ni sudah hilang sabarnya nanti buruk jadi nya, mengamuk orang Melayu nanti,kata beliau lagi. Lagi pun dalam kamus orang puteh hanya ada satu sahaja perkataan orang Melayu yang diguna pakai oleh mat-mat saleh itu iaitu “AMUK”atau “Ran-Amuk”, tambah si pemandu lori ini lagi dengan muka marah. Saya pun diam mendengarkan kata-kata beliau tersebut sambil berfikir boleh tahan juga brother ni tahu juga perkataan yang ada dalam kamus Oxford mat saleh tu.

Saya juga terdiam dan terfikir kalau seorang rakyat marhaen seperti seorang pemandu lori kontena ini yang sudah jelas orangnya berpartikan UMNO boleh terfikir sehingga ke tahap itu jika ditimpa kesusahan yang melampau, maka persoalannya adakah pemimpin-pemimpin UMNO dan juak-juak UMNO yang ada di atas sana (Menara UMNO/PWTC) tidak terfikir seperti apa yang difikirkan oleh brother si pemandu lori kontena itu tadi.

Fikir-fikirkanlah hai UMNO! Bak kata orang tua-tua “Menyesal dahulu pendapatan, Menyesal kemudian tiada gunanya”.

http://orangklawang.blogspot.com


3 comments:

babazahra' said...

salam,
ado blog baghu pulak yo waghih.

Saiful Bahri Jaaman said...

Yo lah baba.Ini blog personal ese ni.Yang PAS Jelebu tu official blog untuk PAS Kawasan Jolobu.Jadi hal2 peribadi atau pemikiran peribadi tak boleh masuk kek situ.Kang orang ingat PAS Kawasan Jolobu nye keputusan atau pemikiran lak camtu.Jadi den asingkan lah.Amacam ok tak waghih?

kalawangi said...

ok cipoi...kami di bumi Dato' Sagor bersama anak-anak Jelebu ke arah Islam....:-)

p/s : MJKK dalam kenangan 2004-2008.