Monday, December 5, 2011

Warga Cina Sumbangkan Derma Bangunan PAS MTD Klawang




Encik Liow Shun Chang dan Encik Wong Meow Chan menyumbangkan derma RM350
kepada Ayahanda Cikgu Jaaman (Pengerusi Bangunan PAS MTD Klawang)


Projek untuk membina Bangunan PAS MTD telah dilancarkan pada 17 Ramadhan 1432H bersamaan 17 Ogos 2011 yang lalu. Semenjak dari pelancarannya sehingga kini PAS MTD Klawang telah menerima sambutan dan sumbangan yang menggalakkan dari ahli-ahli PAS dan juga orangramai. Pada peringkat awalnya hanya satu akaun bank yang dibuka iaitu di Public Bank Kuala Klawang. Tetapi ramai dari Kelantan dan Terengganu yang menelefon kepada Setiausaha dan Pengerusi meminta PAS MTD Klawang membuka akaun di Bank Simpanan Nasional maka satu lagi akaun dibuka di BSN. Ini kerana BSN terdapat di merata tempat maka senanglah bagi mereka untuk memasukkan wang ke dalam akaun Bangunan PAS MTD Klawang.Akaun "Bangunan PAS MTD Klawang" :-

1) Public Bank, No A/K : 4749876500 ATAU

2) Bank Simpanan Nasional (BSN), No A/K : 05100 - 41 -00019562 - 2


Sehingga hari ini 4 Disember 2011 PAS MTD Klawang menerima kunjungan sejarah dari Encik Liow Shun Chang dan Encik Wong Meow Chan kedua-duanya dari Kg Chennah dan Kg Petaling di Jelebu. Mereka berdua telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM350 kepada Bangunan PAS MTD Klawang dan menyumbangkan RM100 lagi untuk PAS MTD Klawang. Dalam ucapan beliau Encik Liow menyatakan mereka memang menyokong PAS dan berharap PAS dapat mendirikan satu bangunan di Jelebu. Encik Liow adalah bekas ahli MCA dan sekarang beliau tidak lagi mahu dengan MCA dan telah menyertai DAP. Encik Liow dan Encik Wong kedua-duanya berharap PAS akan menang dalam pilihanraya yang akan datang ini.


Encik Liow menyumbangkan RM100 lagi untuk PAS MTD Klawang


Pada malam tersebut PAS MTD Klawang juga telah menerima sumbangan seorang HAMBA ALLAH sebanyak RM5000 dan sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Tuan Haji Zainuddin sebagai mewakili HAMBA ALLAH tersebut.


Hj Zainuddin menyampaikan sumbangan derma seorang Hamba Allah sebanyak RM5000
kepada Ayahanda Cikgu Jaaman.


Dalam ucapan ringkasnya Ayahanda Cikgu Jaaman selaku Pengerusi Bangunan PAS MTD Klawang menyatakan MTD Klawang merancang mendirikan bangunan 2 tingkat dimana tingkat atas akan dijadikan pejabat MTD, bilik mesyuarat, bilik serbaguna dan stor dan sementara tingkat bawah akan dijadikan Surau Al-Amin. Anggaran kos projek ini termasuk alat kelengkapan dan kemudahannya adalah RM200,000/- Sehubungan itu beliau mohon orangramai dan ahli-ahli PAS dapat terus menyumbang untuk merealisasikan projek ini. Jika terdirinya bangunan itu nanti maka disitulah nanti akan dijadikan Pusat Tarbiyyah untuk ahli-ahli PAS dan orangramai serta menjadi pusat pentadbiran PAS MTD Klawang.

http://pasjelebu.blogspot.com
http://orangklawang.blogspot.com

Ceramah Che'gu Bard di Kg Gagu

Che'gu Bard sedang menyampaikan ceramah


Pada 28 Oktober 2011 yang lepas PAS MTD Klawang bersama dengan PAS Cawangan Kg Gagu telah mengadakan ceramah Che'gu Bard di Kg Gagu, Triang. Ramai yang telah hadir mendengarkan ceramah tersebut. YB Taufek, En Lai Thin Pengerusi DAP Jelebu dan Lt Kol (B) Roseli iaitu Timbalan Pengerusi DAP Seremban juga telah hadir.

Dari kiri saya, Chegu Bard, YB Taufek, En Lai Thin dan Ayahanda Cikgu Jaaman


Che'gu Bard dalam ceramah beliau menyeru kepada orang Melayu berubah dan tinggal kan parti UMNO kerana UMNO lah parti pengkhianat bangsa dan agama. Menurut beliau lagi UMNO telah banyak menutup fakta sejarah kerana UMNO mahu menjadi juara dalam Malaysia, maka orang akan menyatakan hanya UMNO yang memerdekakan Tanah Melayu dari British. Sumbangan negarawan yang lain seperti Burhanuddin Helmi. Pak Sako (Ishak Hj Muhammad), Ahmad Boestamam dan lain-lain tidak diketengahkan dan di kenang. Dalam PRU-13 akan datang Che'gu Bard minta orang Melayu menolak semua calon UMNO/BN dan undilah calon Pakatan Rakyat. Malaysia perlukan perubahan jika tidak Malaysia akan hancur dan bankrap dikerjakan oleh pemimpin UMNO/BN yang rakus mengejar kemewahan untuk diri mereka sendiri katanya lagi.

Lt Kol (B) Roseli, Timbalan Pengerusi DAP Seremban menyampaikan ceramah


Pada malam tersebut Lt Kol (B) Roseli turut berceramah.Beliau adalah Timbalan pengerusi DAP Seremban. Beliau menyatakan sekarang ini ramai bekas tentera seperti beliau yang telah menyampah dan benci dengan tindak tanduk pemimpin BN yang menyebabkan ramai bekas tentera dan polis menyertai parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti PAS,DAP dan PKR. Tambah beliau lagi nasib anggota keselamatan yang telah bersara tidak dibela sepenuhnya oleh kerajaan yang memerintah sekarang ini. Beliau menyertai DAP bukan PAS atau PKR kerana DAP adalah parti berbilang bangsa dan beliau ingin menidakkan tohmahan UMNO/BN yang mengatakan DAP adalah parti orang Cina.


Dari kiri YB Taufek, En Lai Thin dan saya.


Saya bersama Lt Kol (B) Roseli


http://pasjelebu.blogspot.com
http://orangklawang.blogspot.com

Walimatul Urus Puteri Abang Zul

Saya dan Omar bersama Abang Zul dan Isteri di hadapan khemah tetamu.


Pada 27 November 2011 bersamaan 1 Muharram 1433H baru-baru ini Saudara Zulkefli Zainuddin AJK PAS MTD Klawang yang juga Bendahari Bangunan PAS MTD Klawang telah mengadakan majlis walimatul urus untuk puteri beliau. Saya dan AJK MTD yang lain telah sempat bersama meraikan majlis tersebut. Saudara Zul telah menempah khas nasi beriyani dari salah sebuah Restoran Nasi Beriyani yang terkenal di Seremban untuk dijamu pada tetamu beliau.Peeh... memang berdesut sedapnya.


Ustaz Suhaimi Naqib Usrah MTD Klawang turut hadir



Puan Nasipah (Timbalan Pengarah 3 MTD Klawang) dan suami En Samsudin (AJK MTD)
turut hadir bersama

Majlis Bercukur Abdul Hadi

Hj Jaaman sedang menggunting rambut cucunya yang ke-13 Abdul Hadi


Baru-baru ini diadakan majlis bercukur anak saya yang ke-4 iaitu Abdul Hadi. Beliau lahir pada 14 September 2011 bersamaan 16 Syawal 1432H. Nama anak ini diambil sempena nama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang iaitu Presiden PAS sekarang ini.

Hafiz memegang adiknya Abdul Hadi selepas digunting rambut. Sambil itu
ahli pondok membaca selawat Nabi.

Majlis kesyukuran ini diadakan di Pondok Desa At-Taqwa Jeram, Selangor. Majlis diadakan pada Hari Raya Aidil Adha yang lepas. Semua ahli pondok, Tuan guru dan sahabat handai juga hadir.Alhamdulillah majlis berjalan lancar.

Paklang Aziz sedang mecukur saki baki rambut Abdul Hadi yang masih ada di kepalanya

Thursday, July 28, 2011

Selepas 17 tahun baru nampak CAHAYA

Akhirnya selepas menunggu selama 17 tahun, sambil berusaha memohon bekalan elektrik ke rumah beliau di Kg Ulu Jelebu dari TNB dan kerajaan UMNO/BN, maka pada hari ini rumah En Radzuan Bin Halim 50 tahun dan Puan Norhayati telah pun terang benderang dengan cahaya lampu berkat usaha dari pertubuhan NGO Zonta International Foundation dengan kerjasama PAS Kawasan Jelebu dan PAS MTD Klawang.

Dari kiri Pn Osnidah,Pn Jemiliah,Dr Husna,Pn Norhayati,Sdra Anif, Saya,

Hj Zainuddin & En Radzuan bersama generator & tilam sumbangan Zonta.

Pihak NGO Zonta International Foundation dari Kuala Lumpur telah menyumbangkan sebuah Generator jenis FUJI dan 5 buah tilam kepada keluarga En Radzuan. Pihak PAS MTD Klawang telah memberikan kerjasama dengan menyumbangkan wayar dan paip untuk membuat pendawaian di dalam dan di luar rumah En Radzuan. Pasukan Unit Amal Jelebu telah menghantar 2 orang petugas mereka menjalankan kerja-kerja pendawaian tersebut.

Cik Amira,Dr Husna dan Pn Jemiliah Rouse diluar rumah

Dalam majlis penyerahan yang dijalankan secara ringkas pada 27 Julai 2011 (Rabu) yang lepas di rumah En Radzuan Kg Ulu Jelebu pihak Zonta International Foundation telah di wakili oleh Pengerusi mereka Puan Jemiliah Rouse dan Dr Husna Sulaiman (Timbalan Pengerusi) sementara Saudara Nor Anif Selamat (Timbalan YDP) dan Saudara Saiful Bahri Jaaman (Naib YDP) bersama Tuan Hj Zainuddin Hassan (Bendahari) mewakili PAS Kawasan Jelebu dan MTD Klawang.

Lampu dan pendawaian di dalam & di luar rumah sumbangan PAS

En Radzuan menyatakan rasa gembira dan terharu dengan sumbangan dari pihak Zonta dan usaha yang dijalankan oleh PAS untuk membantu beliau dan keluarga. Beliau mempunyai 10 orang anak, iaitu 6 perempuan dan 4 lelaki. Dengan adanya lampu yang terang ini dapatlah anak-anak beliau mengaji dan meneruskan pelajaran pada waktu malam katanya. En Radzuan menambah lagi walaupun dia tahu PAS bukanlah parti pemerintah tetapi usaha PAS yang ikhlas membantu orang-orang yang miskin seperti beliau, membuatkan beliau rasa terharu dan beliau mendoakan kemenangan PAS pada pilihanraya yang akan datang supaya lebih ramai lagi orang dapat dibantu.

Menurut Saudara Nor Anif (Timbalan YDP) adalah menjadi tanggungjawab PAS membantu semua orang sesuai dengan tema Muktamar tahunan PAS baru-baru ini iaitu ‘Negara Berkebajikan’. Saudara Anif juga menegaskan bahawa walaupun sekarang ini rumah En Radzuan telah pun terang tetapi masih menjadi tanggungjawab kerajaan UMNO/BN menyalurkan bekalan elektrik ke rumah En Radzuan kerana bekalan elektrik adalah kemudahan asas yang menjadi hak semua rakyat Malaysia untuk mendapat nya terutamanya kawasan Parlimen Jelebu ini diwakili oleh Rais Yatim yang juga seorang Menteri Kanan.

Pn Jemiliah Rouse bersama Pn Norhayati membincangkan sesuatu.


http://orangklawang.blogspot.com

http://pasjelebu.blogspot.com


Simulasi Pilihanraya MTD Klawang

Pada 16 Julai 2011 (Sabtu) yang lepas PAS MTD Klawang telah mengadakan program Simulasi Pilihanraya di Markaz MTD Kg Larong. Seramai 20 orang ahli dan AJK MTD telah hadir ke program tersebut.Moderator program adalah Saudara Latib (Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS NS) dan juga Saudara Mohamad Yusry (Pengarah Pilihanraya PAS Jelebu).


Peserta simulasi pilihanraya meneliti arahan yang diberikan

Peserta telah di bahagikan kepada 2 kumpulan untuk memudahkan dan mencepatkan proses simulasi.Saudara Samsul Musa mengetuai kumpulan ke Ulu Klawang sementara Saudara Shamsul Baharin Ismail mengetuai kumpulan ke Kg Kuala Pah.Saya menyertai kumpulan ke Kuala Pah dan di sana kami telah bertemu dengan beberapa orang penduduk kampong dan ketua-ketua serta kepimpinan kampong untuk bertanyakan khabar dan mengetahui masalah mereka.Tidak kurang juga ramai yang menawarkan diri untuk membantu PAS dan ada yang menawarkan rumah dan kawasan untuk digunakan oleh PAS semasa pilihanraya.

Kumpulan B pimpinan Shamsul Ismail di rumah Along Adam di Kg Kuala Pah


Sebahagian peserta simulasi di Markaz MTD Klawang sebelum pulang,

selesai tamat program.


Sunday, July 24, 2011

Ceramah YB Dr Zul Di Kg Kemin

Pada hari Sabtu 16 Julai 2011 yang lalu YB Dr Zulkefly Ahmad telah berceramah di Kg Kemin, Kuala Klawang, Jelebu. Kg Kemin adalah kawasan kubu kuat UMNO/BN di Jelebu terutamanya di DUN Klawang. Daripada mulanya UMNO/BN telah cuba untuk menggagalkan ceramah tersebut. Pada malam tersebut, kawasan tempat ceramah telah di kepung oleh polis dengan cubaan untuk menggagalkan ceramah. Menurut Timbalan OCPD Jelebu mereka bertindak berdasarkan kepada satu laporan polis yang dibuat oleh Ketua RELA setempat yang mengatakan ceramah PAS ini boleh menimbulkan kacau bilau.

Sebagai Pengerusi majlis dan juga mewakili YDP untuk ucapan aluan PAS Jelebu.

Baju kuning Bersih 2.0 terpaksa diterbalikkan atas arahan polis. kelakar..tul..

Walau bagaimanapun hasil rundingan yang baik dan profesional antara PAS Jelebu dan pihak polis akhirnya ceramah berjaya diteruskan juga. Antara yang turut berceramah pada malam tersebut adalah Hj Annuar Hashim (mantan pembantu khas kepada EXCO Pertanian NS Yunus Rahmat) dan juga Hj Abdul Rahman Bin Ramli Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS NS yang juga YDP PAS Jempol.

Ceramah YB Dr Zulkefli Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor)

Pada malam tersebut YB Dr Zulkefli telah menerangkan tentang proses demokrasi tulen yang berjalan di UK, Amerika dan Negara-negara Eropah. Himpunan Bersih 2.0 yang berjalan serentak di negara2 luar berjalan dengan teratur dan licin tanpa provokasi dari pihak polis. YB juga menerangkan tentang sekarang ini tiada lagi politik aman seperti zaman dahulu di mana hanya ada wakil UMNO/BN sahaja di Parlimen, sebaliknya terdapat 1/3 ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang tidak henti-henti mendesak kerajaan jika berlaku penyelewengan, korupsi dan penyalah gunaan kuasa kerajaan. Inilah kebaikan kepada rakyat kerana ‘Check-balance’/timbal balik sentiasa berlaku di Parlimen.

Jamuan durian selepas ceramah. Satu lori durian Along sediakan.

Banyak tu...terima kasih Along


Kepimpinan PAS Jelebu & MTD Klawang bergambar bersama YB Dr Zul.

Dari kiri YB,Hj Jaaman,Hj Kateran,Saya,Anif dan Samsul.

Sunday, July 10, 2011

BERSIH 2.0 Dari Pudu ke Brickfield

Kami 4 orang (Hafiz, Barr, Omar dan saya) bergerak dari Senawang dalam pukul 11.30 pagi untuk menyertai himpunan Bersih 2,0 di Kuala Lumpur. Menurut Anif himpunan akan diadakan di Stadium Merdeka. Jadi Stadium Merdeka lah arah tujuan kami.

Bawah jambatan di jalan Hang Tuah menunggu hujan teduh. Dari kiri
bersama Barr, Saya dan Omar.

· 1.15 tengahari - kami sampai di LRT Bukit Jalil.Kami naik LRT untuk menghala ke Plaza Rakyat atau Masjid Jame’. Tapi oleh kerana stesen Plaza Rakyat, Pasar Seni dan Masjid Jame’ tutup maka kami turun di Stesen LRT Pudu. Dari stesen LRT Pudu kami berjalan kaki melalui Flat San Peng menuju jalan Hang Tuah

· 2.00 petang hujan turun dengan lebat, kami berteduh di Masjid Al-Bukhari jalan Hang Tuah dan terus menunaikan solat zohor dahulu. Selesai solat hujan telah pun berhenti dan kedengaran suara di luar masjid yang mengajak semua orang bergerak.

· 2.20 petang - Bila kami bergerak menuju ke stadium tak kelihatan ramai orang., tetapi apabila kami sampai dihadapan rumah BP (rumah Pengakap) rupa-rupanya telah ada beribu-ribu orang berkumpul di situ hingga ke jalan Sultan. Kami jadi hairan dari mana datangnya orang yang seramai ini.

· 2.30 petang - Dari situ seorang Cina AJK BERSIH (maaf, namanya tak tahu) mengepalai perarakan kami. Sorakan “Hidup Bersih” , “Hidup Rakyat” laungan “Takbir” dan laungan “Reformasi” bergema di jalanan. Beribu-ribu rakyat lagi menyertai kami. Jalan-jalan ke Stadium Merdeka telah ditutup oleh ratusan polis, FRU dan halangan kawat polis.

· Kelihatan sebaris peguam berbaju kot hitam menyaksikan perarakan kami dan jurugambar dari atas bangunan sibuk memfokus lensa kamera kepada kumpulan kami.Pemberita dan jurugambar dari TV3 telah disorak dan di ‘BOOO” oleh orang ramai yang berarak.Semasa berjalan saya sempat berkenalan dengan seorang Apek tua yang membawa isteri dan anak-anaknya serta cucunya sekali berarak.Saya perkenalkan anak saya hafiz pada Apek itu.

· 3.00 petang - Kami berarak di Jalan Sultan hingga lah sampai di depan bas stand Klang. Di hadapan bas stand Klang kami telah ditembak dengan gas pemedih mata menyebabkan peserta perarakan berpecah, ada yang lari balik ke jalan Sultan dan ada yang lari ke dalam bas stand Klang.

Pemimpin Bersih 2.0 sedang berucap di hadapan Bas Stand Klang

· Kami berkumpul di hadapan bas stand Klang. Pemimpin Bersih mula berucap. Sebanyak 3 pusingan kami di tembak oleh gas pemedih mata, tapi peserta Bersih berjaya mengawal emosi.Setiap pusingan tembakan 4 atau 5 tabung gas pemedih mata di lepaskan oleh polis.

· 4.00 petang - YB Datuk Husam Musa menyertai kami.Dari bas stand Klang kami berarak bersama Datuk Husam menuju ke KL Sentral pula melalui jalan Brickfield.Laungan takbir, hidup bersih, hidup rakyat dan reformasi bergema lagi di sepanjang perjalanan.Kami memang mahu ke KL Sentral kerana bercadang nak ambil tren ke Bukit Jalil.

· 4.30 petang - Sampai di Brickfield kami dapat tahu Stesen Kl Sentral sudah tutup dan tren tak akan berhenti di situ.Kami berpecah dari kumpulan yang berarak kerana mereka meneruskan juga perarakan ke KL Sentral.Lalu kami buat keputusan mengambil bas ke jalan Bangsar.

· Dari Bangsar kami mengambil teksi ke stesen LRT PWTC apabila stesen Bangsar juga tutup.Dari PWTC barulah kami dapat mengambil tren untuk ke Bukit Jalil. Dalam perjalanan saya mendapat SMS dan panggilan telefon dari Anif mengatakan Tn Guru Hj Hadi, Mat Sabu dan pemimpin lain yang ditangkap berada di Balai Polis Jinjang.

· 5.45 petang - Sampai Bukit Jalil kami mengambil keputusan untuk tidak balik ke Seremban lagi sebaliknya kami telah pergi ke balai polis Jinjang. Sebelum itu kami pergi ke Sri Petaling dahulu untuk makan dan minum kerana kami memang belum makan tengahari kerana tak ada restoran yang dibuka.

· 7.15 petang – kami sampai di balai polis Jinjang. Kami dapati sudah ramai ahli PAS berkumpul di situ. Polis telah memasang kawat berduri menghadang jalan menuju ke balai polis dan ratusan polis berkawal di luar balai tersebut. Saya ternampak Ustaz Abu Bakar Chik disitu dan bertanya kepada Ustaz tentang perkembangan pemimpin yang ditahan.Ustaz menyatakan Tn Guru Hj Hadi telah di bawa ke Bukit Aman sementara yang lain seperti Tian Chua dan Mat Sabu masih ada di dalam.Saya ternampak Saudara Ali Maiden juga disitu dan bersalam-salam lah dengan beliau.

· 7.35 petang – Polis mengeluarkan arahan supaya yang berkumpul bersurai dan polis mula bergerak cuba menangkap ahli2 PAS yang berkumpul disitu. Kami bersurai dan menuju ke stesen Petronas yang berampiran untuk menunaikan solat maghrib. Kami bertemu dengan ahli2 PAS dari Terengganu yang memberitahu kami Tn Guru Hj Hadi telah dibebaskan.Mereka menunjukkan suratkhar Guang Ming Daily yang mereka beli memaparkan gambar2 himpunan Bersih 2.0.

· 7.50 malam – Kami kembali ke balai polis jinjang dan sebelum itu membeli suratkhabar Guang Ming Daily untuk menyimpan bukti sejarah himpunan Bersih tersebut.Dari gambar2 tersebut memang nampak nyata beratus-ratus ribu orang telah turun ke Kuala Lumpur untuk menyertai Bersih.

· 8.15 malam – Nampak Yaakub dan Hassan Tamby dalam kereta mereka pun sampai di situ. Mereka mahu bergerak ke Pejabat PAS Pusat kerana menurut Hassan ada 2 orang ahli PAS dari NS telah ditangkap dan dia akan berusaha untuk membebaskan mereka.

· 8.20 malam – Kami akhirnya mengambil keputusan untuk pusing2 jalan di Kuala Lumpur sambil melihat jalan2 yang dilalui oleh peserta Bersih tadi sekiranya terdapat cermin kedai atau ada kedai dipecahkan disebabkan oleh himpunan tersebut.Kami bergerak dari jalan Tunku Abdul Rahman – jalan Tun Perak – jalan Sultan (China Town) – masuk jalan Tun Perak semula pusing ke Jalan Raja Laut – masuk jalan Kg Baru – masuk jln Ampang melaui KLCC - terus ikut Jalan Pinang - Jalan Imbi – jalan Bukit Bintang dan masuk jalan Hang Tuah semula.

· 9.30 malam – Kami dapati tidak ada satu kedai pun yang pecah atau dipecahkan cerminnya, tak ada satu lampu jalan pun yang tumbang dan tidak ada satu pun telefon awam yang tercabut. Kami akhirnya sepakat untuk balik ke Seremban dan melaui jalan Loke Yew untuk ke Kajang.

· 10.00 malam – Di Kajang kami singgah makan sate dahulu. Peeh.. sedap berdesut.

Berarak bersama YB Datuk Husam dari Bas Stand Klang menuju ke KL Sentral

Contoh sepakat dan bersatunya rakyat Malaysia tak kira Melayu, Cina, India dan Benggali yang meyertai Bersih 2.0 yang saya nampak adalah :-

1. Sekumpulan Cina telah mengeluarkan berkotak2 air mineral dan diagih-agihkan antara peserta Bersih untuk membasahkan tuala atau kain dan diminum semasa polis menembak gas pemedih mata kearah peserta himpunan.

2. Di Brickfield seorang lelaki India yang saya tak kenali telah bersalam dan memeluk saya sambil mengucapkan terima kasih kerana saya dan kawan2 sama2 menyertai himpunan tersebut,

3. Sekumpulan pemuda Benggali telah bersalam dengan kami di bas stand Klang sebelum kumpulan mereka beredar dengan menaiki motor klasik.

4. Kumpulan Melayu PAS teah mengedarkan garam untuk dihisap dalam mulut untuk mengelakkan pedih kerongkong semasa terhidu bau gas pemedih mata.

Dari kiri hafiz, Omar dan Barr bersama peserta himpunan Bersih yang lain

Kesimpulan yang dapat saya buat adalah beratus ribu orang telah turun ke KL pada 9 Julai 2011 untuk berhimpun dengan aman untuk BERSIH 2.0. Apabila kerajaan UMNO/BN menutup pintu stadium kepada BERSIH 2.0 untuk berhimpun dan DERHAKA kepada titah Yang Dipertuan Agong untuk benarkan BERSIH 2,0 diadakan di Stadium maka peserta BERSIH 2.0 terpaksa meneruskan perarakan di jalanraya dengan penuh disiplin walaupun telah diganggu oleh tembakan gas pemedih mata, water canon dan tangkapan oleh polis. SYABAS kepada seluruh peserta BERSIH 2.0 yang datang dari seluruh Malaysia dengan wang dan belanja sendiri tanpa ditangung oleh sesiapa pun. SYABAS kepada seluruh warga Malaysia baik Melayu, Cina, India dan Benggali yang telah turun ke KL untuk menyertai BERSIH 2.0


Saya dan Barr bersama kumpulan Bersih 2.0

Dan kesimpulan yang terakhir adalah seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum telah bersatu menentang kezaliman Regim UMNO/BN dan telah diterjemahkan dalam himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 bersamaan hari Sabtu di Kuala Lumpur.

‘ HIDUP, HIDUP, HIDUP BERSIH’

‘HIDUP, HIDUP, HIDUP RAKYAT’

‘SUARA RAKYAT, SUARA KERAMAT’

‘REFORMASI’

TAKBIR ‘ALLAHU AKBAR’

Thursday, July 7, 2011

UNGGUN BERSIH


Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu..

Nukilan - A Samad Said

Menuntut Kebersihan

Kami mahu berdemo aman
Untuk menuntut Kebersihan
Kebersihan bukan Kekotoran
Supaya Espi'ar dengar rintihan
Tidak akan timbul kekacauan
Tidak akan rosak perniagaan


Nanti jalan jam kesesakan?
Di KL jam sudah kebiasaan
Jam walau baru setitik hujan
Jam kalau ada bas kerosakan
Jam kalau ada jualan besar-besaran
Jam kalau VIP nak hadiri jamuan
Kereta lain kena berenti bagi laluan

Nanti peniaga akan kerugian?
Peniaga Jalan Tunku Abdul Rahman
Mana ada rugi malah raih keuntungan
Hari tu laku peniaga air minuman
Hari tu laku peniaga baju hujan
Sebab takut disembur asid kehijauan
Kalau sehari tidak terjejas keuntungan
Biasa la Melayu 4 hari buka 3 hari liburan

Nanti terjejas iklim pelaburan?
Pelabur tak mari bukan pasal demo jalanan
Pelabur tak mari pasal insentif berkurangan
Pasal kepincangan polisi kewangan
Pasal banyak rasuah dan penyelewengan
Pasal polisi bertukar dari bulan ke bulan
Pasal kena beri saham kat proxy kawan

Demo untuk luahkan perasaan
Jangan ada provokasi pihak lawan
Jangan hanya pandai buat ugutan
Suruh orang Cina stok makanan
Bukan untuk sehari tapi 6 bulan
Jelas nampak terserlah kedangkalan
Orang nak demo kenapa bangsa dikaitkan
Kenapa salam 1 Malaysia tidak dilaungkan
Mungkin meraba-raba mencari jawapan
Untuk menyelamatkan dari ketenggalaman
Lihat sahaja tajuk akhbar Utusan
Tidak ada satu pun yang menggalakkan
Kebanyakan berita berbau perkauman
Orang muda menolak seruan kebangsaan
Cuma segelintir veteran masih menaruh harapan
Namun harapan semakin gelap ditelan perubahan

Keris Silau
22 Jun 2011

Sunday, June 12, 2011

Usrah MTD Klawang

Usrah MTD Klawang telah diadakan pada 11 Jun 2011 (sabtu) baru-baru ini di Markaz MTD Klawang, Kg Larong, Kuala Klawang. Naqib usrah MTD Klawang adalah Ustaz Suhaimi Bin Kassim. Ustaz Suhaimi adalah anak kepada Tuan Haji Kassim Rembawi dan beliau adalah bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Seremban.

Ustaz Suhaimi sedang memimpin usrah

Usrah MTD Klawang ini telah berjalan semenjak tahun 2003 hingga lah sekarang. Antara Naqib yang pernah memimpin usrah MTD Klawang ini adalah Ustaz Ngadion (kini telah bertukar ke Kuala Kangsar), Ustaz Shaifuddin Maulup (semasa beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Rasah), Ustaz Mohd Esa dan kini Ustaz Suhaimi. Untuk pengajian ilmu Ustaz Suhaimi membawa kan kitab "Muqadimah Aqidah Muslimin" karangan Tuan Guru Hj Hadi Awang dan sekarang kitab tersebut telah pun hampir tamat setelah hampir 2 tahun disyarahkan

Muslimat MTD Klawang sedang tekun mendengar syarahan Naqib


Ahli-ahli Usrah ini terdiri daripada ahli-ahli PAS dari 2 cawangan di dalam MTD Klawang iaitu Cawangan Batu Serambai dan Cawangan Bandar Klawang. Ahli tetap usrah ini adalah seramai 15 orang dan yang lain akan menghadirinya di waktu kelapangan. Usrah MTD Klawang diadakan pada setiap minggu ke 2 dan ke 4 setiap bulan.

Wednesday, May 18, 2011

Masih Ada Yang Sayang di Kg Ulu Jelebu

Kuala Klawang, Jelebu - pada 15 Mei 2011 hari Ahad yang lalu PAS MTD Klawang meneruskan agenda menyantuni masyarakat penduduk kampung di kawasan Kuala Klawang. Pada kali ini PAS MTD Klawang telah meredah Kampung Ulu Jelebu untuk menyampaikan bantuan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas serta orang miskin di sana.

Hj Jaaman (Ketua Dewan Ulama PAS Jelebu) menyampaikan sumbangan
kepada Pakcik Arif Bin Mat

Antara yang sempat dikunjungi oleh rombongan PAS MTD Klawang adalah Pakcik Arif Bin Mat. Pakcik Arif ini seorang yang buta dan miskin. Rumah Pakcik Arif juga masih tidak mempunyai bekalan elektrik. Hj Jaaman Bin Abu (Ketua Dewan Ulama PAS Jelebu) telah menyampaikan sumbangan kepada Pakcik Arif. Kami juga telah mengunjungi En Mazlan Bin Jani @ Asri. Beliau telah patah kaki kanan dan juga miskin. Kami mendapati rumah En Mazlan atapnya telah bocor dan bilik airnya tidak berbumbung.

Nor Anif (Timbalan YDP PAS Jelebu) menyampaikan sumbangan
kepada En Mazlan Bin Jani.

Kami juga telah mengunjungi Puan Halus Bte Kutah, seorang warga emas yang berumur lebih daripada 100 tahun. Menurut cucu beliau Along, neneknya itu sekarang ini sudah nyanyuk dan tidak mengingati kaum keluarga atau anak2 yang mengunjungi beliau. Sekarang ini Puan Halus dijaga oleh emak Along (kami tidak mengambil gambar Puan Halus atas sebab2 yang tidak dapat dielakkan).

Hj Zainuddin (Bendahari PAS Jelebu) menyampaikan sumbangan
kepada emak Along bagi pihak Puan Halus.

Setelah itu kami telah mengunjungi Puan Inon Bte Ahmad. Puan Inon juga adalah seorang warga emas dan beliau mendapat sakit lutut yang kronik. Sakit lutut Puan Inon menyebabkan beliau sukar hendak berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk ke mana-mana. Selain itu kaki beliau juga turut bengkak yang menambahkan lagi kesukaran beliau untuk bergerak. Menurut Puan Inon dahulu beliau berniaga kuih muih di Pekan Klawang tapi sekarang tidak lagi setelah mengalami sakit lutut dan kaki ini. Makcik Inon mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana sudi melawat beliau.

Saiful Bahri (Naib YDP PAS Jelebu) menyampaikan sumbangan kepada
Puan Inon. Beliau tidak lepas bangun hanya duduk sahaja.

Kami juga telah berkunjung ke rumah En AbuTalib Bin Idris. En Abu Talib telah mengalami penyakit misteri selama bertahun-tahun menyebabkan badan beliau menjadi kurus kering. Menurut AbuTalib beliau tidak boleh berdiri lama-lama kerana ia akan menyebabkan beliau rasa berpinar (berpusing) dan badan bergoyang. Sekarang ini beliau hanya duduk di rumah sahaja dn bergerak di kawasan sekitar rumah sahaja kerana takut pening atau pitam.


Saudara Mohamad Yusry (Setiausaha Dewan Pemuda PAS NS) menyampaikan
sumbangan kepada En Abu Talib Bin Idris yang mendapat penyakit misteri.


http://pasjelebu.blogspot.com

Linkhttp://orangklawang.blogspot.com

Tuesday, May 17, 2011

Mesyuarat Agong PAS Kawasan Jelebu Kali Ke-22

Pada hari Sabtu 14 Mei 2011 baru-baru ini PAS Kawasan Jelebu telah mengadakan Mesyuarat Agong nya untuk kali yang ke-22, bertempat di Markaz PAS Cawangan Jerang. Mesyuarat Agong tersebut telah dirasmikan oleh Haji Zakaria Khalim, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Sembilan. Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol Saudara Abdul Rahman bersama Naib YDP PAS Jempol juga telah hadir sebagai pasukan pemerhati perjalanan Mesyuarat Agong seperti yang ditugaskan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan.

Barisan pemimpin PAS Jelebu mengendalikan Mesyuarat Agong


Dalam ucapan beliau Haji Zakaria Khalim menegaskan betapa pentingnya mesyuarat Agong ini di adakan pada setiap tahun bukan hanya pada tahun pemilihan sahaja. Beliau menyatakan tujuan diadakan mesyuarat Agong pada tiap-tiap tahun adalah supaya kita dapat memperbetulkan apa yang telah salah dilakukan dalam orgnisasi dan juga untuk kita menyusun gerakerja bagi memantapkan organisasi kita. Menurut beliau lagi sekarang ini adalah masa kita menyusun gerakerja pilihanraya kerana PRU-13 sudah semakin hampir. Beliau berharap PAS Jelebu dapat merampas beberapa kerusi BN dalam Parlimen Jelebu pada pilihanraya yang akan datang.

Haji Zakaria Khalim berucap merasmikan Mesyuarat Agong PAS Jelebu

Dalam pemiihan pucuk pimpinan PAS Kawasan Jelebu, Haji Kateran Bin Marman menang tanpa bertanding dan mengekalkan jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan. Saudara Nor Anif telah dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua apabila beliau mengalahkan penyandang Haji Jamalus Mansor dalam pertandingan 1 lawan 1. Manakala Saudara Saiful Bahri telah dipilih sebagai Naib Yang Dipertua juga dalam undian oleh para perwakilan.

Sebahagian perwakilan cawangan ke Mesyuarat Agong

Dalam ucapan penangguhan Tuan Haji Kateran berharap pada kali ini PAS Kawasan Jelebu akan bergerak dengan lebih mantap. Beliau menyatakan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin muda dalam PAS Kawasan Jelebu diharap dapat menggembelingkan lebih usaha untuk menawan DUN Klawang dan juga Parlimen Jelebu pada pilihanraya yang akan datang.

Keputusan pemilihan AJK PAS Jelebu dalam Mesyuarat Agong kali ke-22 :-

  1. Yang Dipertua - Haji Kateran Bin Marman
  2. Timbalan YDP - Saudara Nor Anif Bin Selamat
  3. Naib YDP - Saudara Saiful Bahri Bin Jaaman
  4. Setiausaha / Ketua Pemuda - Saudara Khairul Azidi
  5. Bendahari - Haji Zainuddin Bin Hassan
  6. Ketua Penerangan - Haji Jamalus Bin Mansor
  7. Ketua Urusan Ulama - Haji Jaaman Bin Hj Abu
  8. Ketua Muslimat - Puan Osnidah Bte Othman
  9. AJK - Puan Syarifah Aini
  10. AJK - Mohd Barr Bin Ujang
  11. AJK - Kamaruddin Bin Hashim
  12. AJK - Hj Kamarul Zaman Bin Jakin
  13. AJK - Puan Ruzita Bte Tumeran
  14. AJK - Saudara Mohd Yusry Bin Mohamad
  15. AJK - Shamsul Kamal Bin Musa
  16. AJK - Raniman Bin Abd Rani
  17. AJK- Wan Nabihah Bte Wan Mamat Ramli
  18. AJK - Alias Bin Daud
  19. AJK - Rumidi Bin Othman
  20. AJK - Samsudin Bin Mohamad

http://pasjelebu.blogspot.com
http://orangklawang.blogspot.com

Monday, May 9, 2011

PAS MTD Klawang Jumpa Tok Batin

Saudara Nor Anif Bin Hj Selamat Pengarah MTD Klawang yang juga merupakan Naib YDP PAS Jelebu bersama dengan Puan Osnidah (Ketua Muslimat PAS Jelebu) dan Mohd Khidir (Along) telah pergi melawat Kg Kelaka iaitu Kampung Orang Asal di Ulu Klawang dan berjumpa dengan Tok Batin Adeng baru-baru ini.


Anif bersama keluarga Hema Anak Lebek yang menerima bantuan kerusi

roda dari PAS MTD Klawang untuk anak mereka yang OKU

Tok Batin Adeng adalah kawan baik kepada Saudara Mohd Khidir (Along). Tujuan lawatan adalah untuk mengikat ikatan silaturrahim dan bertanya khabar. Dalam lawatan yang singkat dan mesra tersebut Tok Batin Adeng mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana sudi melawat kampong beliau yang jauh terpencil tersebut. Tok Batin juga telah mendapat perkhabaran bahawa PAS MTD Klawang telah menyumbangkan kerusi roda dan makanan kepada penduduk kampong. Beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih atas keikhlasan PAS menyumbangkan makanan dan kerusi roda tersebut.

Hj Kateran (YDP PAS Jelebu) bersama keluarga orang asal yang menerima

sumbangan makanan

Dalam lawatan tersebut Tok Batin sempat mengadukan beberapa perkara kepada PAS untuk diajukan kepada pihak yang berwajib. Antara aduan Tok Batin Adeng adalah :-

  1. Merasa kesal kerana Jabatan Hal Ehwal Orang Asal (JHEOA) belum pernah sekali pun sampai ke Kampong Kelaka.
  2. Jabatan Agama Islam hanya pernah datang mengajar sekali sahaja di kampong tersebut dan selepas itu tidak pernah datang lagi sedangkan terdapat 17 keluarga orang islam di situ.
  3. Banyak rumah-rumah yang didirikan telah retak dindingnya.
  4. Tiada pengangkutan bas atau van disediakan untuk pelajar ke sekolah. Tok Batin terpaksa membeli sebuah van terpakai untuk mengangkut pelajar ke sekolah. Itu pun masih ramai lagi budak-budak yang tidak dapat pergi sekolah kerana van yang ada hanya 1 sedangkan budak-budak yang layak ke sekolah ramai.

Tok Batin Adeng berharap dengan lawatan PAS ini dapat membuka mata kerajaan supaya mengambil berat tentang kebajikan orang asal. Jangan hanya tunggu nak pilihanraya sahaja berbondong-bondong orang kerajaan masuk kampong, katanya lagi.

http://orangklawang.blogspot.com

http://pasjelebu.blogspot.com

Saturday, May 7, 2011

Jambatan Roboh, Mana Peruntukan???

Hanya 18 hari selepas lawatan PAS MTD Klawang ke rumah Puan Zainab Bte Abdul Rahman berumur 77 tahun di Ulu Klawang dan melaporkan tentang jambatan gantung yang telah uzur menghubungkan antara rumah beliau dengan jalan kampong. Maka tiba-tiba pada hari Rabu 4 Mei 2011 yang telah lalu jambatan gantung tersebut telah roboh menyembam bumi. Kejadian berlaku lebih kurang jam 9 malam dan nyaris-nyaris mengorbankan 2 nyawa.

Jambatan gantung putus di bahagian pangkalnya

Pada hari Rabu lebih kurang jam 9 malam Saudara Kamarul Bin Zakaria (cucu Puan Zainab) bersama isteri beliau Puan Norsyamshila, menunggang motosikal melalui jambatan gantung tersebut. Mereka baru pulang dari membeli barang-barang keperluan dapur di pasar malam Pekan Kuala Klawang. Menurut Kamarul sebaik sahaja mereka sampai atas jambatan tersebut, tiba-tiba sahaja jambatan itu bergegar dan bergoyang lalu terus roboh. Kamarul telah terjatuh ke dalam sungai, sementara isteri beliau tersangkut pada kayu jambatan. Motorsikal mereka telah jatuh ke dalam sungai dan mengalami kerosakan. Saudara Kamarul dirawat sebagai pesakit luar Hospital Jelebu kerana mengalami cedera ringan manakala isterinya telah dimasukkan kedalam wad kerana pengsan dan cedera.

Gambar dekat bahagian pangkal yang roboh

Menurut Kamarul lagi yang menjadi masalah sekarang ini ialah mereka tidak mempunyai jalan lain lagi untuk berhubung dengan kampong luar kerana jambatan itu sahajalah satu-satu nya jalan perhubungan. Sekarang ini terpaksalah kami mengharung sungai untuk keluar bekerja atau untuk adik saya pergi ke sekolah, katanya lagi.Tambah beliau lagi jika sekiranya hujan lebat dan air sungai deras tak dapatlah mereka mengharungnya kerana bahaya.


Kamarul Arifin menung memikirkan nasib dan masalah yang dihadapinya

Sinar Harian edisi Melaka/NS telah melaporkan lawatan PAS MTD Klawang ke rumah Puan Zainab dan juga tentang jambatan gantung tersebut pada keluaran hari Selasa 19 April 2011 dengan tajuk “Jambatan Uzur Perlu Dibaiki”. Pada hari Rabu 20 April 2011 Pegawai JASA Daerah Jelebu Encik Azmi Bin Selamat telah menjawab di dalam Sinar Harian Edisi Jelebu mengatakan bahawa telah ada peruntukan sebanyak RM 80,000 disiapkan untuk menggantikan jambatan gantung tersebut dengan jambatan yang baru. Menurut beliau lagi pihak PAS tidak perlu sibuk dengan kerja kerajaan kerana pihak kerajaan lebih prihatin akan masalah rakyat.

Motorsikal nya yang rosak akibat jatuh kedalam sungai

Tetapi apabila jambatan tersebut roboh dan pihak Sinar mengeluarkan kenyataan Pegawai Daerah Jelebu Encik Zulkifli Baharan yang menyatakan bahawa jambatan tersebut termasuk dalam senarai jambatan yang perlu dibaiki dan hanya menunggu peruntukan sahaja. Maka kenyataan siapakah yang benar? Siapakah Pegawai yang bertanggungjawab atas daerah Jelebu? Samada Pegawai JASA Daerah atau Pegawai Daerah atau Wakil Rakyat. Dalam kenyataan beliau lagi Encik Zulkifli Baharan menyatakan tindakan samada membaiki atau mengganti jambatan baru bergantung kepada kelulusan dan bajet Kerajaan Negeri. Maka dapatlah di simpulkan bahawa tidak ada kata putus dari kerajaan UMNO/BN Negeri Sembilan tentang cara untuk mengatasi masalah jambatan ini…Apa pula tindakan Wakil Rakyat Klawang dan Ahli Parlimen Jelebu dalam hal ini???


http://orangklawang.blogspot.com

http://pasjelebu.blogspot.com


Thursday, May 5, 2011

"Masih Ada Yang Sayang" Di Kg Orang Asal

Kuala Klawang, Jelebu - 4 Mei 2011 - PAS MTD Klawang meneruskan program "Masih Ada Yang Sayang" untuk siri yang ketiga. Pada kali ini PAS MTD Klawang telah merentasi batasan kaum dengan menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada kaum Tionghua di Pekan Kuala Klawang dan Orang Asal di Kg Kelaka, Ulu Klawang.

Pesuruhjaya PAS N9 Sdra Zulkefly menyampaikan sumbangan pada Encik
Lee Yoke Sau@Lee Ngu

Pada program kali ini 2 orang warga tionghua iaitu En Lee Yoke Sau @ Lee Ngu dan Cik Foo Hor Ngun telah menerima sumbangan. Kedua-duanya adalah warga tua yang miskin. En Lee menyatakan ucapan terima kasih beliau kepada PAS, kerana PAS walaupun sebuah parti Islam tetapi tetap memberikan sumbangan kepada orang ramai tanpa mengira kaum atau pun bangsa.


PAS MTD Klawang turut menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada
Puan Hema Anak Lebek yang menpunyai anak OKU


Di kampung orang asal iatu Kg Kelaka, Ulu Klawang PAS MTD Klawang telah menyumbangkan sebuah kerusi roda dan juga bantuan makanan kepada Puan Hema anak Lebek. Puan Hema mempunyai seorang anak OKU. Turut menerima sumbangan adalah Wok Binti Panglima Dalam dan Debok Binti Panglima Dalam. Puan Wok dan Puan Debok adalah warga miskin orang asal dan tidak ada tempat untuk bergantung.


Cik Foo Hor Ngun menerima sumbangan.Turut hadir dari kiri YB Taufek,
En Yau Con Seng (Pengerusi DHPPNS), Hj Jamalus & Hj Kateran (YDP PAS Jelebu)


Pada program "Masih Ada Yang Sayang" PAS MTD Klawang kali ini semua sumbangan disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Saudara Zulkefly Mohamad Omar dan juga YB Hj Taufek Ghani (ADUN Paroi) sempena lawatan kerja Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan ke Daerah Jelebu. Pesuruhjaya dalam ucapan beliau berharap PAS MTD Klawang terus aktif dalam menggerakkan aktiviti setempat dan juga terus menyantuni masyarakat di Kuala Klawang terutamanya, tanpa mengira batasan kaum. Yang Dipertua PAS Kawasan Jelebu Hj Kateran dan juga Timbalan YDP Hj Jamalus Mansor turut hadir dalam program ini.


Puan Wok Binti Panglima Dalam menerima sumbangan.Turut serta kiri
sekali En Mohd Khidir (Along) dan Anif.


Puan Debok Binti Panglima Dalam menerima sumbangan

http://orangklawang.blogspot.com
http://pasjelebu.blogspot.com