Monday, July 26, 2010

Orang Melayu Belum Tentu Islam Dan Orang Islam Tak Semestinya Melayu

Hairan aku sekarang ni dah sibuk balik dijaja hal “perpaduan antara UMNO – PAS”. Tapi yang sibuk sangat nak berpadu atau bergabung ni UMNO. Bagi pihak PAS tak ada apa-apa reaksi nampaknya, kerana PAS mengikut keputusan muktamar-muktamar yang telah lepas iaitu TIADA penggabungan atau perpaduan denganUMNO akan diwujudkan. Ini telah dipersetujui dari peringkat pemimpin atasan hinggalah kepada ahli bawahan PAS. Sibuknya UMNO nak bergabung dengan PAS ini sehingga keluar dalam Berita Harian artikel bertajuk “Roh Perpaduan Melayu” oleh Saudara Mior Kamarul Shahid. Rupa-rupanya ada roh benda yang bernama perpaduan ni ye!

Yang jadi tandatanya sekarang ini sejak bila pula perpaduan ni ada roh. Ada ke jasadnya yang tiba-tiba wujudnya roh ini. Dalam betul pengajiannya, sampai nampak akan dia roh benda yang bernama perpaduan ini. Tok Guru Nik Aziz dah banyak kali bercakap menegaskan bahawa UMNO ni kalau nak bergabung dengan PAS maka WAJIB UMNO tukar dasar partinya daripada sekular kepada Islam. Kalau dasar parti UMNO itu Islam maka baru boleh bergabung dengan PAS. Kalau selagi dasar UMNO sekular dan perjuangan hanya untuk bangsa Melayu maka TAK BOLEH BERGABUNG.

Bukan kah orang UMNO tu Melayu dan PAS juga Melayu? Habis kalau dah sebangsa tak kan tak boleh bergabung??? Memang betul, rata-rata orang UMNO adalah orang Melayu dan orang PAS juga Melayu, walaupun ramai juga orang Cina Islam dan India Islam menjadi ahli PAS. Di Malaysia ni apabila disebut sahaja orang Melayu maka ia adalah Islam! Betul ke? Betul ke orang Melayu ini Islam? Kalau orang Melayu yang dikatakan Islam tidak solat 5 waktu sehari semalam, minum arak, berjudi, berzina, jadi bapa ayam dan macam-macam lagi perkara maksiat yang dilakukan sebagai rutin harian maka inikah orang ISLAM? Kalau orang Melayu yang dikatakan Islam mengamalkan rasuah, kronisma serta menzalimi dan menindas bangsa sendiri dan bangsa-bangsa yang lain, maka inikah orang Islam? Orang Islam ciri-cirinya adalah menunaikan solat 5 waktu sehari semalam,menjauhkan diri dari perbuatan maksiat serta tidak mengamalkan cara hidup maksiat, rasuah dan sebagainya. Orang Islam juga perwatakannya lemah lembut, merendah diri dan jika menjadi pemimpin adil kepada semua kaum.

Cuba lihat pemerintahan kerajaan PAS di Kelantan dibawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz. Sudah 20 tahun kerajaan PAS di Kelantan di perintah menurut cara Islam dengan temanya “Membangun Bersama Islam”. Kita lihat tiada setitik rasuah pun yang berlaku malah kerajaan PAS Kelantan berlaku adil lagi kepada semua kaum, bangsa dan agama. Berapa kali SPRM cuba nak menyiasat kononnya ada berlaku rasuah dalam Kerajaan PAS di Kelantan tetapi tidak berjaya. Ini barulah “Islam Adil Untuk Semua”.

Balik kepada orang Melayu yang dikatakan Islam tadi maka jika benar orang Melayu ini Islam dimana akad mereka masuk Islam. Jika jual beli ada akad, nikah kahwin ada akad, bayar zakat ada akad, maka di mana akad orang Melayu masuk Islam. Orang Cina atau India masuk Islam ada kadi atau Tok Imam yang mengislamkannya dan mendengar pengucapan 2 kalimah syahadah mereka beserta dengan saksi. Habis orang Melayu beranak je atau terberanak (tak sengaja mendapat anak / zina) terus dikira Islam. Maka benarlah orang Melayu ni islam baka atau keturunan.

Bila disebut baka ni ada banyak jenis baka jugak, iaitu jenis baka yang baik, baka yang tidak baik, baka yang rosak dan baka yang elok. Cuba lihat berapa ramai orang Melayu, muka Melayu bercakap Bahasa Melayu tapi ugama Kristian atau Hindu dan ada sebahagiannya pula tak berugama atau tak percaya pada wujudnya tuhan (Atheis). Di Pulau Bali orang Melayu rata-ratanya beragama Hindu. Jual mee ayam, sate atau bakso pakai songkok dan berkain pelikat lagi tapi ugamanya Hindu. Maka di mana nak diletakkan kedudukan ayat yang mengatakan orang Melayu itu mesti beragama Islam dan orang Islam itu Melayu.

Itu lah sebabnya bila sahaja dikatakan UMNO nak bergabung dengan PAS maka Tok Guru dan kepimpinan PAS peringkat atasan dan bawahan serta ahli-ahli PAS sebulat suara mengatakan tidak boleh selagi UMNO tak ubah dasarnya kepada Islam. Ini jika dikaji dalam maksudnya, sebab kita tidak mahu orang Islam terpalit dengan tohmahan dan fitnah oleh bangsa Melayu sendiri serta bangsa-bangsa yang lain atau oleh penganut-penganut agama yang lain. Kerana seperti tajuk diatas “Orang Melayu Belum Tentu Islam, Dan Orang Islam Tak Semestinya Melayu”. ADA FAHAM???

Friday, July 23, 2010

Jumaat

Hari ni hari jumaat. Alhamdulillah berbondong-bondong orang Islam pergi masjid menunaikan solat fardhu jumaat dan mendengar khutbah jumaat. Masa ini lah boleh dikatakan semua masjid penuh. Tak macam solat fardhu yang lain. Nak penuhkan 1 saf pun payah. Kalau solat suboh lagi lah tak payah.

Sepatutnya masa Solat Jumaat ini lah peluang yang sebaik-baiknya digunakan untuk melebarkan dakwah dan syariat islam kerana yang mendengar khutbah jumaat tu ramai. Tetapi sayang kerana khutbah jumaat tidak digunakan sepenuhnya untuk menyampaikan kepada umat, tentang Islam, tentang syurga dan neraka, tentang dosa dan pahala, tentang dosa zina dan anak luar nikah, tentang bahayanya maksiat, tentang azab kubur. Pada hari jumaat ini lah banyak Kutu, Mat Pet, Mat Rempit, Gay dan orang yang solat seminggu sekali datang bersolat jumaat dan mendengar khutbah. Peluang ini sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh khatib dan Majlis Agama Islam untuk memperingatkan umat tentang Islam dan ALLAH tuhan Rabbul Jalil.

Tapi sayang seribu kali sayang kerana masa ni lah pulak khatib nak jadi Pak Menteri atau Pegawai Penguasa Alam Sekitar atau Pakar Ekonomi. Apa tidaknya tajuk Khutbah jumaat yang dibaca oleh khatib “Kitar Semula Menjana Ekonomi Negara” dan ada pula baru-baru ni khutbah jumaat tu khatib menceritakan tentang Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MATEN). Khatib tu menyuruh orang Melayu merebut peluang ekonomi dan jangan ketinggalan. Tak cukupkah TV dan Radio, kerajaan jadikan saluran untuk mengajar penduduk Malaysia cara nak buang sampah, tin dan botol serta plastik sampai terpaksa menggunakan khatib untuk berkhutbah tentang perkara ni. Di luar masjid orang sibuk bercerita tentang ekonomi, macamana nak buat duit atau macamana nak jadi kaya, takkan lah sampai ke dalam masjid dan khutbah jumaat pun nak cerita tentang Ekonomi dan macamana cara nak buat duit lagi. Patut lah orang Islam sekarang ramai yang dah bertuhankan DUIT dan bukan bertuhankan ALLAH lagi.

Cuba pergi curi-curi dengar khutbah di Gereja Kristian pada hari ahad atau paling senang boleh buka YouTube dan boleh dengar khutbah mereka. Apa Paderi Kristian tu cerita atau beritahu pada pengikut agama Kristian tersebut. Paderi tu bercerita tentang berbuat baik sesama insan, sentiasa tolong menolong atau jangan menipu atau menganiaya orang lain, jangan buat maksiat dan lain-lain lagi. Paderi kristian tu bercerita tentang dosa pahala. NAMPAK TAK? Pergi ke kuil BUDDHA pulak, apa sami Buddha tu akan cakap. Sami akan beritahu jangan menganiaya binatang, pokok2 dan jangan berbunuhan antara satu sama lain dan macam-macam lagi. Begitu juga Sami Hindu akan menyuruh penganut Hindu berbaik-baik dan tolong menolong. Contoh yang paling baik adalah Mahatma Gandhi.

Semua agama akan menyeru pengikut agamanya kepada kebaikan dan mengingatkan mereka tentang dosa dan pahala bila mereka dapat berkumpul sesama mereka. Tapi mengapa khatib kita tidak dapat bercerita tentang ugama Islam yang syumul ini kepada seluruh umat sebaliknya khutbah jumaat tersebut telah diselewengkan tajuk nya kepada yang lain contohnya "Makanlah Buah-Buahan Tempatan" dan sebagainya. Itu lah sebab umat islam hari ini telah rosak dan kejadian maksiat seperti buang anak dan sebagainya telah berleluasa.

Masa aku dengar khutbah tentang MATEN tu aku lihat hampir separuh yang hadir mendengar khutbah itu telah tertidur, mungkin kerana tak faham atau bosan mendengar khatib itu tergagap-gagap menyebut kadar index dan lain-lain lagi bahasa ekonomi yang hanya orang ekonomi sahaja akan faham......

Wednesday, July 21, 2010

Alah...5 sen

Baru dua tiga hari lepas harga minyak petrol dan diesel naik sebanyak 5 sen. Macam-macam cerita kedengaran dari rakyat jelata. Ada yang mengeluh sebab harga naik, ada yang relax sahaja dan ada pulak yang menyokong kenaikan harga ni. Saya nak mengambil contoh dan teladan dari ketiga-tiga perspektif ini.

1) Yang Mengeluh :-
Rakyat biasa atau rakyat terbanyak. Keluhan timbul kerana kos meningkat. Walaupun kerajaan kata kos hanya minima dan dapat diserap oleh rakyat dan orang perniagaan. Ramai yang mengangguk walaupun mulut mencebik. Ramai jugak yang mencaci kerajaan.

Ada satu perempuan cina namanya Miss Tan,bekerja dengan sebuah syarikat German. Anak 2 orang, tinggal di sebuah kondo di Bukit Jalil. Suaminya seorang ahli perniagaan. Dia beritahu saya sekarang semua naik. Dia dan suami dua-duanya kena bekerja untuk tampung kos. Anak2 tinggal dengan mak mertua sebab boleh jimat sikit daripada upah penjaga atau ambil pembantu rumah. Dulu kereta semua isi minyak kuning aje katanya (RM 1.80 se liter). Nak isi minyak mahal (merah) terasa rugi pula. Sekarang minyak naik 5 sen akan datang tak tahu naik berapa lagi. Rasa macam nak tukar pakai gas NGV seperti yang ada kawan2 nye buat, tapi takut pula sebab tak biasa dan tak tahu macamana. Lagi harga gula naik katanya. Sikit hari semua harga barang naik sebab harga diesel pun naik. Hayya banyak pening kata Miss Tan.

2) Yang Menyokong :-
Ada 2 kumpulan. Kumpulan yang pertama yang tak tahu apa-apa iaitu terima duit dari mak bapak untuk dibelanjakan. Dia orang belum bekerja atau masih bergelar pelajar. Jadi tiap-tiap bulan mak bapak lah yang hantar duit untuk makan minum serta minyak motor dia orang. Saya terdengar perbualan puak ni kat satu restoran sate di sini. Antara ayat yang saya terdengar " Peeh...nasib baik minyak ni naik 5 sen kan. 5 sen ok beb tak dak pa-pa. Lu tak boleh buat apa2 dengan 5 sen ni beb"

Kumpulan yang kedua yang menyokong adalah kumpulan tegar penyokong UMNO atau BN. Orang kata darah cap keris. Contohnya jiran kat hujung jalan rumah aku ni Kak M. Sekali tu aku tanya Kak M semasa mengundurkan kereta nak keluar dari rumah. Kak M macamana dengan harga minyak dan gula naik ni? Jawapannya : Alah Pol apa nak kecoh-kecoh. Elok lah naik 5 sen tu daripada naik 20 atau 30 sen. Lagi pun dapat gak bantu-bantu kerajaan. Kak M ni surirumah sepenuh masa,anak2 semua dah lepas, lagipun dia tak ada kereta cuma ada motor aje. Suaminya pencen posmen dan kini kerja pula sebagai jaga.

3) Yang relax dengan kenaikan harga :-
Kumpulan Pak Menteri, Timbalan-timbalan Menteri serta Pengarah-pengarah. Menteri dan Timbalan Menteri ni semua minyak kereta nya kerajaan tanggung. Tahu-tahu drebar dah isi minyak kereta penuh. Tol pun tak payah bayar. Main lalu aje siap rider lagi. Pengarah syarikat besar terutamanya yang GLC apa nak susah. Minyak kereta semua syarikat tanggung. Kok bayar sendiri pun boleh tuntut balik dengan syarikat.

Kesimpulannya :-
Orang Cina ni memang berkira atau pandai mengira. 5 sen pun dia orang kira. Tu lah sebab kaum ni boleh berniaga dan kalau berniaga untung dan maju. Jadi kalau orang cina meniaga boleh untung dan boleh beli kereta besar dan rumah besar. Walaupun 5 sen kat situ lah orang cina nampak untung atau ruginya. Kalau kat sekolah dulu pun yang pandai bab kira mengira ni budak2 cina. Kebanyakan dia orang ni pandai matematik

Orang Melayu pulak tak berkira atau tak pandai bab kira mengira ni. Oleh sebab sikap cincai dan tak berkira ni maka banyak orang Melayu tak boleh berniaga.Kok berniaga pun rugi sebab tak pernah nak kira untung atau rugi. Asal barang laku atau habis sudah. Itu prinsip orang Melayu berniaga. Jadi 5 sen tu orang Melayu tak nampak kalau 500 atau 5000 baru orang Melayu nampak sebab jumlah nya besar. Itu sebab selalu makan pangkal atau habis modal. Bila dah habis modal jual rumah atau kereta untuk buat tambah modal. Jadi bukan jadi makin kaya semakin kayap jadinya adalah....


Muktamar Agong PAS Pusat Kali ke-56

PAS Kawasan Jelebu telah menghantar seramai 5 orang perwakilan termasuk YDP untuk menghadiri Muktamar Agong PAS Pusat kali ke-56 yang berlangsung di PUTIK, Kota Bharu, Kelantan pada 27-29 Jamadilakhir 1431H atau bersamaan 11-13 Jun 2010.
Perwakilan PAS Kawasan Jelebu adalah :-
  1. Hj Kateran Bin Marman (YDP)
  2. Hj Jamalus Bin Mansor (TYDP)
  3. Nor Anif Bin Selamat (NYDP)
  4. Saiful Bahri Bin Jaaman (Setiausaha)
  5. Ithnain Bin Salleh (AJK Kawasan)
Dari kiri saya, Hj Jamalus, Wak Ithnain & Anif selepas mendengar ucapan dasar
Presiden pada hari pertama Muktamar.

En Ithnain dipilih untuk menggantikan Ustaz Abdul Rahman Bin Sidek (Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Jelebu) yang telah kembali ke rahmatullah 5 hari sebelum sempat menghadiri Muktamar Agong tersebut. Tuan Haji Jamalus telah dipilih oleh PAS N9 sebagai wakil N9 untuk membahaskan ucapan dasar Presiden dalam muktamar tersebut.

Hj Jamalus pada hari kedua sebagai wakil N9 membahaskan ucapan dasar Presiden


Saya bersama Wak Ithnain dihadapan pintu masuk PUTIK


Dari kiri Hj Kateran (YDP), Anif dan saya dalam dewan ketika muktamar berlangsung.
Serius betul Wak Kateran mendengar perbahasan dari wakil2 Negeri.

Mesyuarat Agong PAS KawasanJelebu Kali Ke-21

Mesyuarat Agong PAS Kawasan Jelebu Kali ke-21 telah diadakan pada 16 Jamadilawal 1431 Hijrah bersamaan 1 Mei 2010 iaitu hari Sabtu jam 8.00 pagi di Markaz PAS Cawangan Felda Pasoh 1. Mesyuarat Agong ini telah dirasmikan oleh Saudara Zulkefly Mohamad Bin Omar iaitu Pesuruhjaya PAS NS.

Sebahagian perwakilan yang hadir. Arwah Tuan Syed Alias juga turut hadir
program terakhir beliau bersama PAS Jelebu sebelum dijemput oleh ALLAH.

Dalam ucapan aluan YDP PAS Kawasan Jelebu Haji Kateran Marman telah menyeru seluruh ahli PAS di Kawasan Jelebu untuk meneruskan dakwah mengajak orang Melayu supaya mempelajari ajaran Islam yang sebenarnya dan seterusnya mentauhidkan ALLAH. Menurut Haji Kateran PAS adalah satu-satunya parti di Malaysia ini yang dasarnya Islam dan hakikat penubuhannya adalah untuk menegakkan hukum ALLAH di mukabumi ini.

Ucapan perasmian PJN9. Sebelah YDP kelihatan arwah Ustaz Abdul Rahman Sidek
(Ketua Ulamak) PAS Jelebu, beliau juga dijemput oleh ALLAH 5 hari sebelum beliau
sempat hadir sebagai Perwakilan Kawasan ke Muktamar PAS Pusat

Dalam ucapan beliau PJ telah mengucapkan tahniah kepada PAS Kawasan Jelebu kerana telah berjaya menarik seramai 12 orang ahli UMNO dari cawangan Kg Gelang Pertang untuk masuk dan menandatangani borang menjadi ahli PAS. Ini satu tamparan yang hebat kepada Dato' Rais Yatim yang merupakan seorang menteri kanan dan juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu. Menurut Saudara Zulkefly, Dato' Rais yang satu ketika dahulu pernah menjadi orang nombor 2 dalam Parti Melayu Semangat 46 tetapi sekarang telah lupa akan kenyataan2 yang pernah beliau katakan dulu terutamanya dalam hal "Membakar Jambatan dengan UMNO". PJ juga menyeru supaya generasi kedua FELDA menyertai satu persatuan yang nama ringkasnya ANAK di bawah Saudara Mazlan Aliman untuk membela nasib peneroka FELDA dan membongkar penyelewengan dan penipuan yang dilakukan oleh FELDA.
Seramai lebih kurang 100 orang ahli PAS dari cawangan-cawangan dalam Kawasan Jelebu telah hadir sebagai perwakilan dan pemerhati untuk Mesyuarat Agong PAS Kawasan Jelebu pada kali ini.

Sunday, July 18, 2010

MAAF LAH YO

Assalamualaikum Wr. Wbt.
Minta maaf pada semua sahabat2 PAS,PR dan Bloggers kerana lama sangat tak update blog ni. Pasal nya aku tak ada komputer. Ni baru dapat komputer lama dan RAM nye slow. Tapi tak apo asalkan buleh. Itu lah hakikat perjuangan. Apo yang ada dan boleh pakai dulu pakai lah. Komputer aku yang dulu dah rosak.
Sekarang ni tongah kumpul-kumpul duit lah ni nak boli komputer baru. Sobar2 yo lah. Aktiviti PAS Jelebu dan MTD Klawang banyak cumo aku je tak dapat nak update dalam blog. Insyallah lopeh ni aku cubolah update dengan komputer slow ni. Yang bagi aku komputer ni pun memang aku panggil dia "Mat Slow". Slow-slow dia pun tapi dia baik hati dan pemurah...