Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi
mengakui ada kegagalan dan kelemahan dalam tadbir urus berkaitan dengan 1MDB
tetapi mendakwa beberapa pihak yang mahu mensabotaj ekonomi negara demi
kepentingan politik cuba memperbesar-besarkan isu itu.
Bercakap pada InvestMalaysia 2018 di Kuala Lumpur hari
ini, Najib berkata 1MDB dicabar dengan begitu kuat dan dijadikan senjata untuk
membuktikan kononnya ekonomi Malaysia mengalami keruntuhan.
Beliau kemudiannya menggariskan langkah-langkah yang
diambil untuk membetulkan masalah berkenaan dan menjadikan Tun Dr Mahathir
Mohamad dan pembangkang sebagai sasarannya.
"Tetapi seperti yang kita pelajari mengenainya, jadi
kita juga telah belajar daripada kesilapan lalu," katanya jelas merujuk
isu-isu yang melanda pentadbiran Dr Mahathir seperti skandal pertukaran asing
Bank Negara (forex).
Najib berkata , beliau mengakui terdapat alasan yang sah
untuk dikhuatiri.
“Saya tidak mengketepikan isu ini begitu sahaja. Memang
ada kegagalan dalam syarikat ini, kelemahan tadbir urus. Memang ada asas yang
menimbulkan kebimbangan.
“Disebabkan itu saya telah mengarahkan siasatan yang
paling komprehensif dan terperinci dilakukan dalam sejarah korporat Malaysia,
siasatan yang melibatkan pelbagai pihak berkuasa termasuk jawatankuasa parlimen
dianggotai parti kerajaan dan pembangkang.
“Dapatan siasatan mereka turut diambil kira – lembaga
pengarah syarikat dibubar, pasukan pengurusannya ditukar dan operasinya dikaji
semula,” katanya.
Najib juga menarik perhatian bahawa 1MDB telah menyusun
semula asetnya, dan dengan hasil itu, ia mengambil pendekatan agresif untuk
mengurangkan hutang kepada tahap paling rendah.
"Syarikat itu menumpukan kepada usahanya bagi
memastikan dua aset yang paling berharga - Bandar Malaysia dan Tun Razak
Exchange - kekal sebagai cadangan pelaburan yang menarik kepada pemegang saham
dan pelabur,” kata Najib.
Kemelut 1MDB dan susulan pelbagai siasatan di beberapa
negara menyaksikan desakan semakin kuat mahu Najib meletakkan jawatan. Dr
Mahathir juga secara terbuka menuduh perdana menteri menyelewengkan dana
daripada firma itu apabila sejumlah wang yang besar dijumpai berada di akaun
bank peribadi perdana menteri.
Tetapi Najib menafikan menyalahgunakan sebarang dana awam
untuk keuntungan peribadi dan mendakwa mereka yang membuat tuduhan berkenaan
berkomplot untuk menjatuhkannya.
Artikel : MalaysiaKini
Artikel : MalaysiaKini
No comments:
Post a Comment