Thursday, September 4, 2008

MALAYSIAKINI 16 September 2018

Hari ini 16 September 2018 sudah 10 tahun Tun Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia. Aku rasa puas dan bangga menjadi rakyat Malaysia kerana dalam masa 10 tahun Malaysia telah pun menjadi negara maju setanding dengan Jepun dan Korea di sebelah Asia. Malah Negara Cina adalah pesaing utama Malaysia dalam menghasilkan barang-barang utama keluaran dunia.


Ini semua bermula 10 tahun lalu apabila pada 26 Ogos 2008 Anwar pada masa itu telah menang di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan hasil dari gerakan rakyat akhirnya Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008. Rakyat yang mahu kan perubahan dan kemajuan yang sama taraf telah menaikkan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam.


Dalam masa 10 tahun Anwar menjadi PM, Malaysia telah mengalami satu kejutan pertumbuhan ekonomi yang maha pesat. Tan Sri Khalid yang menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian Malaysia telah berjaya menggerakkan dan menjanakan ekonomi Malaysia secara drastik dan total. Singapura secara tidak langsung telah kalah dengan Malaysia dari segi persaingan ekonomi kerana umumnya semua orang tahu Singapura tidak mempunyai hasil bumi yang dapat menampung dan menggerakkan ekonominya secara lebih cergas. Malaysia kini telah menjadi Negara Pengeluar Minyak dan Gas No 1 dunia di samping menjadi Negara pengekspot getah dan minyak kelapa sawit no 1 dunia juga. Pada asas nya Malaysia telah menjadi GERGASI EKONOMI di ASEAN dan juga di ASIA. Kemajuan Industri juga bertambah-tambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan.


Tidak ada rakyat Malaysia yang tidak bekerja lagi. Gaji tukang kebun sekolah pun sekarang ni dah jadi RM2,000 sebulan. Tak ramai lagi rakyat Malaysia yang pakai kereta PROTON cabuk lagi, malah dah ramai yang pakai Honda, Ford "FOCUS" dan lain-lain yang menunjukkan peningkatan kepada pendapatan mereka. Gaji polis dan askar juga telah dinaikkan oleh Tun Anwar sehingga sekarang berebut-rebut orang nak jadi polis dan askar. Mana tidak jawatan prebet dalam polis dan tentera pun dah dapat RM 2,500 sebulan, sapa yang tak nak. RASUAH dalam Jabatan Kerajaan dan polis sudah tiada lagi, semua dari hasil usaha Datuk Sri Lim Guan Eng yang menjadi Timbalan Perdana Menteri 2 Malaysia. Beliau memerangi habis-habisan rasuah dan mengembalikan kegemilangan polis Malaysia di mata rakyat. Sekarang ni semua orang respek kat polis. Datuk Mohamad Sabu Menteri Pertahanan Malaysia juga telah dapat membina kekuatan Tentera Malaysia merangkumi seluruh Asia. Malaysia telah menjadi satu kuasa tentera yang kuat dan sangat penting di Asia.


Malaysia juga telah mempunyai ”Bullet Train” nya sendiri yang menghubungkan Perlis dan JB dalam masa 3 jam sahaja, dan juga menghubungkan Kuala Lumpur ke Kota Bharu pun dalam masa 2 ½ jam. Datuk Ir Khalid Samad Menteri Kerja Raya Malaysia telah merencanakan dan merancangkan pembukaan bandar2 baru di Sabah dan Sarawak. Kalau dulu Sabah dan Sarawak mempunyai kawasan pendalaman tetapi sekarang selepas 10 tahun Tun Anwar jadi PM semua itu telah menjadi sejarah. Sekarang ini bandar2 baru di Sabah dan Sarawak dapat dihubungi dengan mudah melalui hiway yang dibina dan juga kemudahan keretapi dan komuter yang serba moden yang menghubungkan bandar2 di seluruh Sabah dan Sarawak. Tidak ada lagi orang yang di panggil "Orang Ulu" sebaliknya semuanya telah menjadi Orang Bandar. Pemusatan perdangangan dan perindustrian di bandar2 baru ini juga sangat menggalakkan.


Kuala Lumpur sekarang telah menjadi Kota Ilmu dan Kota Perniagaan, sama seperti zaman kegemilangan Islam di zaman Khalifah dulu. Hasil usaha Datuk Sri Tuan Guru Haji Hadi yang menjadi Timbalan Perdana Menteri 1 Malaysia, Kuala Lumpur telah menjadi Gedung segala Gedung. Ramai pedagang dan pencari ilmu datang ke Kuala Lumpur. Kolej dan universiti di bina dengan rancak dan luasnya menambah ramai lagi penuntut luar negara yang datang. Pendidikan ilmu Islam dan ilmu duniawi di berikan percuma oleh kerajaan kepada seluruh rakyat sehingga peringkat yang tertinggi. Ilmu Islam dan lain-lain cabang ilmu di gerakkan dan dicambahkan untuk kemudahan pendidikan semua. Para sarjana datang ke Kuala Lumpur untuk mengajar ilmu dan mencari ilmu. Masjid-masjid di buka seluas-luas nya kepada semua orang untuk mencari ilmu Islam dan menjadi tempat berkumpul para sarjana Islam dan juga menjadi tempat para ulamak berkumpul menyelesaikan permasalahan umat Islam.


Dalam sukan olimpik yang baru berlalu juga Malaysia telah memenangi 10 pingat emas, 15 perak dan 35 pingat gangsa. Hasil usaha gigih athlit Malaysia dengan rangsangan Datuk Tian Chua yang menjadi Menteri Belia dan Sukan menyebabkan sukan di Malaysia mencapai kegemilangan nya. Ahli2 sukan Malaysia benar2 berjuang untuk negara bukan hanya untuk mendapat kan wang sahaja. Bola sepak di Malaysia telah menjadi sukan utama. Dalam sukan olimpik itu juga Malaysia telah mendapat pingat gangsa dalam acara bolasepak.


Badan kehakiman Malaysia menjadi contoh dunia dengan keadilan nya yang telus dan sejagat. Persidangan mahkamah dunia sekarang telah di alihkan dari "The Hague" di Belanda ke Kuala Lumpur kerana keadilan yang ditunjukkan oleh para hakim di Malaysia. Datuk Karpal Singh Menteri Kehakiman Malaysia telah berjaya mengembalikan sistem kehakiman Malaysia kepada satu sistem yang telus,adil dan bermaruah. Semua rakyat takut dengan undang2 Malaysia yang tidak memilih bulu. Semua orang di hakimi secara adil.Tidak ada lagi tilam yang busuk dan berkapang boleh menjadi saksi dan bahan bukti kes seperti yang pernah berlaku satu masa dahulu...


Tiba-tiba "Bang...oh..bang, Bangun sahur..." kedengaran suatu suara. Itu suara bini aku...Aduh.. rupa nya aku bermimpi. Lantas aku senyum..."Aikkk.." kata bini aku pelik "Apahal tiba-tiba senyum ni bang...mimpi apa tu..,sampai tiba2 senyum" tanya bini aku hairan. "Anwar" kata aku ringkas. "Jom lah makan sahur. Nanti saya tulis, awak baca lah" kata aku menutup bicara.


Dalam hati aku tersenyum puas mengenangkan mimpi aku, jika benar lah semua ini terjadi maka alangkah beruntung dan bertuah nya rakyat Malaysia, kerana segala yang dihajati dapat di capai. Malaysia Baru yang sebelum ini biasa di laung-laungkan oleh Anwar telah benar-benar terjadi....


http://orangklawang.blogspot.com/

3 comments:

Anonymous said...

"busuk dan berkapang"

adoi! senyum tak abis sei baco mimpi nie bang.

Anonymous said...

hehehe...mimpi yg mampu jadi realiti insya-Allah

Saiful Bahri Jaaman @ Angah said...

Namo eh mimpi kan...so nak cakap camno?harap2 jadi reliti bak kato kalawangi tu.Mako rakyat juo yang sonang.