Tuesday, September 30, 2008

MTD Klawang Sampaikan Sumbangan Kepada Warga Emas dan OKU Sempena Kedatangan Syawal

Pada 21 dan 22 hb September yang lalu PAS MTD Klawang telah menjelajah di sekitar DUN Klawang untuk menyampaikan sumbangan derma berupa wang ringgit dan makanan asas kepada warga emas dan OKU yang menetap di sekitar DUN Klawang. Rombongan menjelajah ini di ketuai oleh Tuan Hj Jaaman Abu. Antara yang turut serta dalam jelajah tersebut adalah H j Zainuddin Hassan (Timb Pengarah 1 MTD), En Jawa (Bendahari PAS Jelebu), Sdra Saiful Bahri (S/U MTD Klawang), Hj Razak, Angah Rohan, Puan Zainon serta lain2 AJK MTD.

Cikgu Jaaman menyampaikan sumbangan kepada En Abu Bakar Baginda
di Kg Pianggu.

Dalam ekspedisi tersebut sebanyak 22 sumbangan telah dapat di sampaikan demi untuk membantu memberikan sedikit sinar keceriaan kepada warga emas dan golongan OKU untuk merayakan bulan Syawal yang kian menjelang. Dalam keadaan yang serba dhaif dan tiada daya upaya golongan ini masih dapat mengukirkan senyuman menerima sumbangan daripada PAS MTD Klawang. PAS MTD Klawang berharap dengan sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu meringankan sedikit bebanan perbelanjaan yang ditanggung oleh golongan ini dalam merayakan Syawal.

Puan Zainon Bendahari HELWA MTD Klawang menyampaikan sumbangan pada
Puan Roziah Halim di Kg Bukit, Ulu Jelebu.


Cikgu Jaaman & Pakcik Jawa sedang berbual dan bertanya kan khabar dengan
En Abu Bakar Baginda.

Sdra Saiful menyampaikan sumbangan kepada Puan Ariah di Bandar Tinggi.




Angah Rohan, Nazri dan Saiful bersama seorang warga tua di Kg Kuala Pah.


Hj Razak (kanan) bersama dengan ayah adik Norhanim ketika menyampaikan
sumbangan kepada adik Norhanim di Kg Purun.


Adik Norhanim yang berusia 12 tahun bersama nenek beliau Puan Saodah Rashid.
Adik Norhanim cacat setelah mengidap demam panas.


http://orangklawang.blogspot.com/

Saturday, September 27, 2008

MTD Klawang Edar Bubur Lambuk

20 September 2008, Kuala Klawang :
PAS MTD Klawang dengan kerjasama AJK dan ahli-ahli PAS di DUN Klawang telah bergotong royong memasak dan mengedarkan bubur lambuk di Bazar Ramadhan Pekan Kuala Klawang pada hari Sabtu 20 Ramadhan 1429 yang lalu. Program memasak bubur lambuk ini telah di adakan di Markaz MTD Klawang di Kg. Larong.

AJK MTD dari kiri Nazri, Wak Hassan, Hj Ismail, Hj Mat Tan dan Hj Razak sedang
bergotong royong membungkus bubur lambuk untuk di edarkan.

Sebanyak 300 bungkus bubur lambuk telah berjaya diedarkan. Respon dari orang ramai sangat menggalakkan dan dalam masa 15 minit sahaja seluruh bubur lambuk telah dibahagi-bahagikan kepada orang ramai di situ.

Sdra Saiful (S/U MTD) memberikan bubur lambuk kepada seorang pengunjung
Bazar Ramadhan tersebut

Menurut Tuan Hj Zainuddin (NYDP PAS Kawasan Jelebu) ini lah kali pertama program seperti ini di adakan oleh PAS di Daerah Jelebu ini. Program seperti ini patut di adakan oleh MTD-MTD PAS yang lain dalam Kawasan Jelebu ini kata beliau. Dengan adanya program seperti ini PAS akan berada lebih dekat di hati masyarakat menurut beliau lagi.

Masyarakat Tionghua juga tidak ketinggalan, turut di berikan bubur lambuk.


Hj Zainuddin (NYDP PAS Jelebu) turut datang membantu membungkus bubur
lambuk di Markaz MTD Klawang.

Sdra Mazlan dan AH LENG (Kelab Penyokong PAS Jelebu) memberikan bubur lambuk
kepada 2 orang peniaga yang berniaga di Bazar Ramadhan tersebut.

http://orangklawang.blogspot.com/

Tuesday, September 16, 2008

HARAKAH 2X Seminggu Hilang Sengat Nya

Sedih hendak dikatakan Harakah sekarang ini yang keluar 2x seminggu sudah tidak menyengat lagi berita-berita nya seperti dahulu. Boleh lah di katakan jika dibandingkan dengan akhbar Suara KeAdilan walaupun masih baru, menampakkan Suara KeAdilan lebih menyengat dan berbisa. Bisa nya Suara KeAdilan sehingga memaksa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berlakon dan panggil wartawan akhbar untuk menunjukkan bahawa beliau boleh berjalan tidak lumpuh dan adalah normal walaupun beliau baru lepas menghadapi pembedahan jantung yang merbahaya. Musa Hassan terpaksa berbuat begini demi untuk menafikan berita dalam Suara KeAdilan yang mengatakan beliau lumpuh walaupun berita tersebut adalah benar. Kalau berita tersebut tidak benar mesti lah beliau telah menyaman akhbar Suara KeAdilan tersebut.


Perlu diingat bahawa Harakah adalah akhbar parti dan bertugas untuk menjalankan propaganda atau memprojekkan Parti PAS supaya nampak berjaya dan relevan di mata masyarakat Malaysia. Nampak nya Harakah sekarang ini gagal menjalankan fungsi tersebut. Contohnya dalam Harakah keluaran terbaru ini menyiarkan artikel YB Taufek yang pandai memasak sehingga boleh memikat isteri beliau sendiri dengan masakannya itu. Sepatutnya artikel begini tidak perlu di keluarkan oleh Harakah kerana ia tidak relevan dengan perjuangan YB Taufek yang berjuang untuk menonjolkan PAS di mata masyarakat di DUN Paroi dan di Negeri Sembilan. Macam dah tak ada cerita lain tentang YB Taufek!


BERITA :-


Sepatutnya Harakah mengeluarkan berita-berita tentang aktiviti-aktiviti YB Taufek di DUN Paroi atau di Negeri Sembilan yang menunjukkan beliau bergerak bersama masyarakat atau sedang membantu rakyat. Ini akan dapat membantu YB Taufek memikat hati rakyat NS kepada PAS dan bukan hanya untuk memikat isteri beliau sahaja. Baru-baru ini YB Taufek ada menghulurkan sumbangan kepada golongan yang kurang mampu dan ibu-ibu tunggal di DUN Paroi, maka berita seperti ini yang sepatutnya di keluarkan oleh Harakah. Sudahlah wakil-wakil rakyat PAS di nafikan hak mereka untuk mengeluarkan kenyataan atau artikel di dalam akhbar-akhbar arus perdana, malah Harakah pun turut sama tidak membantu YB-YB PAS yang telah menang di DUN atau Parlimen masing-masing. Kalau Harakah sendiri tidak membantu YB-YB ini mempromosikan aktiviti2 dan program2 mereka maka akhbar mana lagi yang hendak membantu mereka.


Berapa banyakkah program Ustaz Azizan Menteri Besar Kedah dikeluarkan atau di war-warkan oleh Harakah? Sepatutnya Harakah membantu PAS Kedah dalam mempromosikan program2 MB atau EXCO2 PAS Kedah malah ADUN2 di Kedah itu sendiri dalam usaha untuk mengekalkan kemenangan PAS di Kedah dalam PRU-13 nanti. Berapa kali kah program YB Mohd Nor Hamzah N.18 DUN Bukit Payong dalam Parlimen Marang di Terengganu yang dikeluarkan oleh Harakah. Silap-silap orang PAS sendiri tidak kenal dengan YB tersebut malah tidak tahu pun bahawa PAS menang di DUN N.18 Bukit Payong tersebut. Berapa kali kah program Dato’ Dr Hassan Ali dan Dr Zulkefli Ahmad yang keluar dalam Harakah. Atau adakah mereka ini langsung tak ada program dengan masyarakat setempat? Mustahil....


Sepatutnya Harakah telah menyediakan satu muka surat untuk satu negeri bagi menyiarkan berita-berita semasa dalam negeri tersebut ataupun aktiviti-aktiviti PAS dalam negeri tersebut. Berapa kali atau berapa banyak kah berita tentang aktiviti-aktiviti PAS Negeri Sabah dan Negeri Sarawak yang di keluarkan oleh Harakah. Tak kan lah PAS Sabah dan PAS Sarawak tiada aktiviti? Jika tiada berita tentang aktiviti PAS di Sabah dan Sarawak bagaimana mungkin PAS hendak menang walaupun satu kerusi dalam pilihanraya di Sabah atau di Sarawak? Harakah perlu mempromosikan PAS Sabah dan Sarawak supaya masyarakat terutamanya di Sabah dan Sarawak tahu akan keujudan dan keperluan adanya parti PAS di Sabah dan Sarawak. Itu belum di soal tentang edaran Harakah di Sabah dan Sarawak!!!


PENGEDARAN :-


Dari segi pengedarannya Harakah juga perlu menambahkan dan memperluaskan edarannya. Sebagai contoh semasa di Permatang Pauh baru-baru ini akhbar Suara KeAdilan dan Siasah ada di jual di kedai mamak dalam stesen keretapi Bukit Mertajam tetapi Harakah tidak ada di jual. Begitu juga di Seremban ini akhbar Suara KeAdilan, Siasah dan Wasilah ada di jual di kedai mamak di dalam GIANT Senawang tetapi Harakah tidak ada di jual. Apabila di tanya dengan mamak tersebut mengapa tidak dijual Harakah jawapan beliau adalah TIDAK ADA SESIAPA YANG HANTAR???


PENGURUSAN :-


Dulu Harakah terbit 2X seminggu juga sebelum ditukar syarat permit nya dan hanya di benarkan terbit 2X sahaja dalam sebulan. Sekarang ia telah pun di benarkan untuk terbit 2X seminggu semula. Adakah sekarang ini pengurusan Harakah telah biasa relaks dengan terbitan sebanyak 2X sebulan dahulu sehingga tidak dapat bersaing atau mencapai tahap kerja untuk menerbitkan berita-berita dalam Harakah sesuai dengan kehendak terbitan 2X seminggu semula? Bagaimana pula jika Malaysia berjaya diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat dan Harakah perlu terbit tiap-tiap hari? Boleh kah Harakah melakukannya dengan budaya kerja yang ada sekarang ini? Saya suka mencadangkan supaya pengurusan dan ahli lembaga Pengarah Harakah di kendalikan sepenuhnya oleh orang akhbar yang berpemikiran politik dan bukan oleh orang politik sepenuh masa iaitu YB Ahli Parlimen mahu pun ADUN. Mungkin PAS cuma perlu meletakkan seorang dua sahaja pemimpin kanan nya di dalam ALP Harakah sebagai contohnya Saudara Mazlan Aliman atau Saudara Annuar Tahir yang belum menang sebagai ADUN atau ahli Parlimen yang mana mungkin mereka akan dapat memberikan tumpuan dan masa yang sepenuhnya kepada Harakah.


AKHIR KALAM :-


Banyak lah lagi kalau hendak di sebut di sini. Tetapi apa pun di harap Harakah yang terbit 2X seminggu mesti lah membuat dan membawa perubahan. Jangan lah hanya perubahan pada imej dan muka surat depan Harakah sahaja. Harakah mestilah lebih membantu dan lebih memprojekkan imej PAS dan kebaikan PAS di mata masyarakat, seperti mana Suara KeAdilan berjaya memprojekkan imej dan ketrampilan DSAI di mata rakyat Malaysia. Jangan lah Harakah hanya sekadar hendak terbit sahaja dan menjalankan kerja seperti melepas kan batuk di tangga. Seperti dalam muktamar baru-baru ini seorang perwakilan menyatakan Harakah adalah lebih kepada tempat untuk mencari atau merujuk kepada ubat-ubat kuat sahaja.....


http://orangklawang.blogspot.com/


Friday, September 12, 2008

UMNO/BN Buat Rakyat Macam Budak2 Sekolah

Hari ini jam 1.20 petang tadi Raja Petra Kamaruddin telah di tahan dibawah ISA begitulah kata Puan Marina isteri RPK.Baru je semalam kerajaan mengumumkan bahawa tak ada blog yang akan di tutup dan bloggers yang akan di tahan.Tetapi hari ni dah lain cerita pulak.

Dengan penahanan RPK ini menutup ruang pintu demokrasi untuk para bloggers, penulis dan lain2 untuk menyatakan apa yang tersirat dan terbuku dalam hati di atas kertas atau di dalam komputer di alam maya ini.Apa yang bloggers tulis jika ada orang tengok dan baca bukan salah para bloggers.Kerana bloggers tak dapat nak menahan orang ramai supaya jangan membaca, mencetak atau menceritakan kepada orang lain apa yang ditulis nye itu.

BLOG ni macam personal diari individu tersebut.Suka hati mak bapak dia lah nak tulis apa pun dalam diarinya itu.Kalau suka baca dan kalau tak suka jangan baca atau jangan buka lagi blog tersebut.Itu pun kerajaan UMNO/BN tak faham.

Kerajaan UMNO/BN ini seolah-olah hendak menjadikan seluruh rakyat Malaysia ini macam budak2 sekolah.Mesti menurut dan ikut sahaja apa arahan dari Guru atau pun Guru Besar. Budak2 boleh la...tapi kalau orang tua/dewasa semua nya disekat ini tak boleh, itu tak boleh, ini jangan buat, itu jangan buat maka jiwa mereka akan memberontak.Bila jiwa memberontak itu yang UMNO/BN kalah di 5 negeri tu...Ha Buat lagi...

Kalau benar UMNO/BN ini kuat, mesra rakyat dan menjaga kebajikan rakyat maka apa yang perlu di takut kan dengan para bloggers yang hanya insan kerdil di bumi Malaysia ini. Sedangkan UMNO/BN mempunyai jentera propaganda yang lebih besar,moden dan canggih seperti Kementerian Penerangan, TV3 dan lain-lain. Tak kan lah dengan kehadiran bloggers maka jentera penerangan Kerajaan dan TV3 hancur dan kalah oleh hanya 1 atau 2 blog. Kalau itu terjadi maka sudah selayak nya lah semua yang ada di Kementerian Penerangan di TV dan Radio serta TV3 di pecat kerana buat kerja tak betul untuk UMNO/BN parti yang memerintah sehingga rakyat lebih percaya kepada blog lebih dari TV dan radio....

Thursday, September 11, 2008

Sains dan Matematik Perbodohkan UMNO/BN

Hari ini Khamis 11 September 2008 berakhir lah sudah peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk pelajar tahun 6 di seluruh Sekolah Rendah dalam Malaysia. Pelajar-pelajar tahun 6 yang mengambil kertas peperiksaan Sains dan Matematik masih lagi di hidangkan dengan soalan yang berbentuk dwi bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam kedua-dua matapelajaran tersebut.

Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan UMNO/BN yang sombong dan bodoh yang beria-ia benar mahukan kedua-dua matapelajaran Sains dan Matematik ini di ajar di dalam Bahasa Inggeris di semua sekolah di Malaysia terpaksa akur dengan permintaan dan kehendak pelajar yang tidak faham dan tidak akan dapat menjawab soalan peperiksaan UPSR tersebut hanya jika ia dihidangkan dengan satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Inggeris.

Maka persoalan mengapa kedua-dua matapelajaran ini, Sains dan Matematik perlu atau mesti di ajar di dalam Bahasa Inggeris? Persoalan ini perlu atau mesti di jawab oleh UMNO/BN dan juga Kementerian Pendidikan? Jika soalan peperiksaan UPSR itu sendiri terpaksa menyediakan soalan dalam Bahasa Malaysia supaya pelajar faham akan soalan dan dapat menjawab soalan dengan betul maka masih wajarkan kedua-dua matapelajaran ini di ajar dalam Bahasa Inggeris???

UMNO yang beria-beria benar berjuang konon nya bagi kaum/orang Melayu sendiri telah diperbodohkan oleh soalan UPSR untuk pelajar Sekolah Rendah Tahun 6 tersebut. Ini menunjukkan perjuangan untuk mendaulatkan Bangsa Melayu, Bahasa Melayu dan ugama Islam oleh UMNO hanya perjuangan yang sia-sia dan bersifat materialistik semata-mata dan langsung tidak di pakai atau di pandang oleh Kerajaan BN yang didokongi oleh UMNO itu sendiri. UMNO sepatut nya MALU kerana perjuangan mereka menuntut penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia ini telah di perbudak-budak kan oleh pelajar Sekolah Rendah di Malaysia.

Semua orang tahu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris oleh guru-guru Sekolah Rendah dengan pelajar terutamanya di kawasan luar bandar adalah seperti komunikasi antara AYAM dan ITIK. Pelajar tak faham apa yang diajar kan oleh guru mereka jika guru tersebut tidak menerangkan atau menjelaskan terma-terma Sains dan Matematik tersebut dalam Bahasa Malaysia. Dan terdapat juga guru yang tidak mahir berbahasa Inggeris sendiri yang tidak faham tentang bagaimana nak menerangkan nya semula ke dalam Bahasa Malaysia kepada anak murid mereka. Bukan kah ini semua menyusahkan? Ia bukan sahaja menyusahkan pelajar untuk mamahami pembelajaran tersebut sebaliknya turut menyusahkan para guru!

Maka untuk mengelakkan kesusahan ini berlanjutan maka sudah sewajarnya lah kerajaan UMNO/BN mengubah balik dasar pendidikan Sains dan Matematik di Malaysia ini iaitu ia mestilah di ajar dalam Bahasa Malaysia, begitu juga dengan soalan-solan peperiksaan mestilah dalam Bahasa Malaysia. Kalau kita lihat di Indonesia dengan rakyat nya yang berbagai bangsa dan suku kaum tetapi penyatuan mereka adalah berasas kan kepada penyatuan bahasa iaitu Bahasa Indonesia. Seluruh matapelajaran dan pendidikan di Indonesia baik di peringkat rendah hingga ke peringkat Universiti adalah dalam Bahasa Indonesia. Jika kita beli barangan jenama "BOSCH" di Malaysia aturcara pemakaian barang tersebut selain di tulis dalam Bahasa Inggeris, Cina, Arab, Perancis, India dan Jepun ia turut di tulis dalam Bahasa Indonesia. Di situ lah terpancar nya kedaulatan dan kekuatan Bahasa Indonesia itu sehingga di iktiraf oleh barang keluaran Negara Jerman tersebut. Bagaimana dengan Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu???

Teringat dalam tahun 1980 semasa masih belajar di Alam Shah, pelajaran Sains dan Matematik pada masa tersebut di ajar dalam bahasa Malaysia. Begitu juga matapelajaran matematik tambahan di ajar dalam Bahasa Malaysia. Hampir separuh daripada pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara iaitu ke US dan UK walaupun semua pelajar adalah aliran Melayu. Setelah 5 tahun belajar di luar negara semua yang balik itu berabuk cakap orang putih. Kalau pada masa tersebut matapelajaran Sains, Matematik dan Matematik Tambahan tersebut di ajar dalam Bahasa Inggeris aku rasa hanya 10/15 orang aje yang dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara sebaliknya yang lain semua akan gagal menjawab soalan tersebut. Kerana pada masa itu rata2 kami semua adalah pelajar dari luar bandar seperti dari Chalok, Kalumpang, Kg Awah, Sg Koyan, Benta, Sayong, Besut dan merata-rata tempat lagi...

Maka kesedaran pemerintah UMNO/BN dan juga Kementerian Pendidikan untuk mengembalikan pembelajaran Matematik dan Sains ke dalam Bahasa Malaysia adalah sangat perlu dan penting demi untuk peningkatan ilmu dalam kedua-dua bidang matapelajaran tersebut. Negara yang maju seperti Jerman, Jepun, Perancis dan Korea semua matapelajaran adalah di ajar dalam bahasa ibunda mereka sendiri dan mereka tetap maju dan berdaulat tanpa perlu mengagung-agungkan atau mendewa-dewa kan bahasa Inggeris di tanahair mereka. Jangan lah kerana kesombongan dan untuk memuaskan hawa nafsu kebendaan/materialistik maka anak bangsa perlu di korbankan. Maka dengan ini sudah sampai masanya Bahasa Malaysia ini di daulatkan semula menjadi Bahasa Ilmu di tanahair yang di kenali dengan Malaysia ini.

Thursday, September 4, 2008

MALAYSIAKINI 16 September 2018

Hari ini 16 September 2018 sudah 10 tahun Tun Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia. Aku rasa puas dan bangga menjadi rakyat Malaysia kerana dalam masa 10 tahun Malaysia telah pun menjadi negara maju setanding dengan Jepun dan Korea di sebelah Asia. Malah Negara Cina adalah pesaing utama Malaysia dalam menghasilkan barang-barang utama keluaran dunia.


Ini semua bermula 10 tahun lalu apabila pada 26 Ogos 2008 Anwar pada masa itu telah menang di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan hasil dari gerakan rakyat akhirnya Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008. Rakyat yang mahu kan perubahan dan kemajuan yang sama taraf telah menaikkan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam.


Dalam masa 10 tahun Anwar menjadi PM, Malaysia telah mengalami satu kejutan pertumbuhan ekonomi yang maha pesat. Tan Sri Khalid yang menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian Malaysia telah berjaya menggerakkan dan menjanakan ekonomi Malaysia secara drastik dan total. Singapura secara tidak langsung telah kalah dengan Malaysia dari segi persaingan ekonomi kerana umumnya semua orang tahu Singapura tidak mempunyai hasil bumi yang dapat menampung dan menggerakkan ekonominya secara lebih cergas. Malaysia kini telah menjadi Negara Pengeluar Minyak dan Gas No 1 dunia di samping menjadi Negara pengekspot getah dan minyak kelapa sawit no 1 dunia juga. Pada asas nya Malaysia telah menjadi GERGASI EKONOMI di ASEAN dan juga di ASIA. Kemajuan Industri juga bertambah-tambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan.


Tidak ada rakyat Malaysia yang tidak bekerja lagi. Gaji tukang kebun sekolah pun sekarang ni dah jadi RM2,000 sebulan. Tak ramai lagi rakyat Malaysia yang pakai kereta PROTON cabuk lagi, malah dah ramai yang pakai Honda, Ford "FOCUS" dan lain-lain yang menunjukkan peningkatan kepada pendapatan mereka. Gaji polis dan askar juga telah dinaikkan oleh Tun Anwar sehingga sekarang berebut-rebut orang nak jadi polis dan askar. Mana tidak jawatan prebet dalam polis dan tentera pun dah dapat RM 2,500 sebulan, sapa yang tak nak. RASUAH dalam Jabatan Kerajaan dan polis sudah tiada lagi, semua dari hasil usaha Datuk Sri Lim Guan Eng yang menjadi Timbalan Perdana Menteri 2 Malaysia. Beliau memerangi habis-habisan rasuah dan mengembalikan kegemilangan polis Malaysia di mata rakyat. Sekarang ni semua orang respek kat polis. Datuk Mohamad Sabu Menteri Pertahanan Malaysia juga telah dapat membina kekuatan Tentera Malaysia merangkumi seluruh Asia. Malaysia telah menjadi satu kuasa tentera yang kuat dan sangat penting di Asia.


Malaysia juga telah mempunyai ”Bullet Train” nya sendiri yang menghubungkan Perlis dan JB dalam masa 3 jam sahaja, dan juga menghubungkan Kuala Lumpur ke Kota Bharu pun dalam masa 2 ½ jam. Datuk Ir Khalid Samad Menteri Kerja Raya Malaysia telah merencanakan dan merancangkan pembukaan bandar2 baru di Sabah dan Sarawak. Kalau dulu Sabah dan Sarawak mempunyai kawasan pendalaman tetapi sekarang selepas 10 tahun Tun Anwar jadi PM semua itu telah menjadi sejarah. Sekarang ini bandar2 baru di Sabah dan Sarawak dapat dihubungi dengan mudah melalui hiway yang dibina dan juga kemudahan keretapi dan komuter yang serba moden yang menghubungkan bandar2 di seluruh Sabah dan Sarawak. Tidak ada lagi orang yang di panggil "Orang Ulu" sebaliknya semuanya telah menjadi Orang Bandar. Pemusatan perdangangan dan perindustrian di bandar2 baru ini juga sangat menggalakkan.


Kuala Lumpur sekarang telah menjadi Kota Ilmu dan Kota Perniagaan, sama seperti zaman kegemilangan Islam di zaman Khalifah dulu. Hasil usaha Datuk Sri Tuan Guru Haji Hadi yang menjadi Timbalan Perdana Menteri 1 Malaysia, Kuala Lumpur telah menjadi Gedung segala Gedung. Ramai pedagang dan pencari ilmu datang ke Kuala Lumpur. Kolej dan universiti di bina dengan rancak dan luasnya menambah ramai lagi penuntut luar negara yang datang. Pendidikan ilmu Islam dan ilmu duniawi di berikan percuma oleh kerajaan kepada seluruh rakyat sehingga peringkat yang tertinggi. Ilmu Islam dan lain-lain cabang ilmu di gerakkan dan dicambahkan untuk kemudahan pendidikan semua. Para sarjana datang ke Kuala Lumpur untuk mengajar ilmu dan mencari ilmu. Masjid-masjid di buka seluas-luas nya kepada semua orang untuk mencari ilmu Islam dan menjadi tempat berkumpul para sarjana Islam dan juga menjadi tempat para ulamak berkumpul menyelesaikan permasalahan umat Islam.


Dalam sukan olimpik yang baru berlalu juga Malaysia telah memenangi 10 pingat emas, 15 perak dan 35 pingat gangsa. Hasil usaha gigih athlit Malaysia dengan rangsangan Datuk Tian Chua yang menjadi Menteri Belia dan Sukan menyebabkan sukan di Malaysia mencapai kegemilangan nya. Ahli2 sukan Malaysia benar2 berjuang untuk negara bukan hanya untuk mendapat kan wang sahaja. Bola sepak di Malaysia telah menjadi sukan utama. Dalam sukan olimpik itu juga Malaysia telah mendapat pingat gangsa dalam acara bolasepak.


Badan kehakiman Malaysia menjadi contoh dunia dengan keadilan nya yang telus dan sejagat. Persidangan mahkamah dunia sekarang telah di alihkan dari "The Hague" di Belanda ke Kuala Lumpur kerana keadilan yang ditunjukkan oleh para hakim di Malaysia. Datuk Karpal Singh Menteri Kehakiman Malaysia telah berjaya mengembalikan sistem kehakiman Malaysia kepada satu sistem yang telus,adil dan bermaruah. Semua rakyat takut dengan undang2 Malaysia yang tidak memilih bulu. Semua orang di hakimi secara adil.Tidak ada lagi tilam yang busuk dan berkapang boleh menjadi saksi dan bahan bukti kes seperti yang pernah berlaku satu masa dahulu...


Tiba-tiba "Bang...oh..bang, Bangun sahur..." kedengaran suatu suara. Itu suara bini aku...Aduh.. rupa nya aku bermimpi. Lantas aku senyum..."Aikkk.." kata bini aku pelik "Apahal tiba-tiba senyum ni bang...mimpi apa tu..,sampai tiba2 senyum" tanya bini aku hairan. "Anwar" kata aku ringkas. "Jom lah makan sahur. Nanti saya tulis, awak baca lah" kata aku menutup bicara.


Dalam hati aku tersenyum puas mengenangkan mimpi aku, jika benar lah semua ini terjadi maka alangkah beruntung dan bertuah nya rakyat Malaysia, kerana segala yang dihajati dapat di capai. Malaysia Baru yang sebelum ini biasa di laung-laungkan oleh Anwar telah benar-benar terjadi....


http://orangklawang.blogspot.com/

Wednesday, September 3, 2008

Permatang Pauh - Hari Mengundi

Sehingga pagi hari Ahad 24 Ogos 2008 seramai 74 orang petugas N9 telah melaporkan diri di UPU Cross Street 2. Sehingga pada pagi hari mengundi sejumlah 120 orang petugas PAS N9 telah pun berada di UPU Cross Street 2. Ada yang datang dengan keretapi dan sampai pada pagi hari mengundi dan ada juga yang sampai pada malam sebelum mengundi. Ustaz Mustapa Dolah dan Saudara Ali telah datang dari Seremban menaiki keretapi dengan rombongan seramai 11 orang dan tiba di UPU Cross Street pada pagi hari mengundi. Saudara Zul Sg. Buluh telah sampai dengan rombongan petugas dari DUN Paroi. Hj Razak dan Abang Karim juga telah datang dari Jelebu dengan membawa petugas tambahan dari MTD Klawang. Boleh dikatakan petugas N9 telah berjaya meramaikan petugas Pakatan Rakyat di Cross Street 2 pada hari mengundi tersebut. Ini telah menambahkan semangat petugas N9 yang telah sedia ada di sana.

PJ N9 Sdra Zulkefly, Pak Andak Ad dan Taufek pagi2 lagi telah berada di Bilik Gerakan
untuk menentukan semuanya berjalan lancar.

Ramai pemimpin kanan Pakatan Rakyat telah singgah di UPU Cross Street 2 untuk memberikan semangat kepada petugas selain dari menanyakan tentang situasi perjalanan pengundian di UPU Cross Street 2. Antara pemimpin yang telah datang ke Bilik Gerakan Cross Street 2 pada hari mengundi tersebut adalah YB Hamdan ADUN Permatang Pasir, YB Mujahid Yusuf Rawa dan YB Tian Chua. YB Tian Chua sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas N9 yang telah datang dari jauh untuk membantu kempen DSAI. Petugas-petugas N9 juga telah mengambil kesempatan untuk bergambar dengan YB Tian Chua.

YB Hamdan ADUN Permatang Pasir telah singgah di Bilik Gerakan UPU Cross Street 2
untuk mengetahui perkembangan perjalanan pilihanraya.

Pada jam 12.00 tengahari hasil dari lapuran dalaman UPU Cross Street 2 mendapati hanya 50% pengundi Cina yang telah keluar mengundi.Terdapat ramai lagi yang masih belum keluar mengundi. Maklumat yang diperolehi mengatakan pengundi Cina telah disekat untuk keluar pengundi oleh petugas BN, kerana BN tahu pengundi ini adalah pengundi tegar DSAI.
Hasil gerakan kilat petugas tempatan diketuai oleh Pak Andak Ad dan Taufek beberapa pasukan telah dihantar untuk menjemput dan menghantar pengundi Cina tersebut ketempat pengundian dijalankan.

YB Tian Chua melawat Bilik Gerakan UPU Cross Street 2.

Pada jam 5.00 petang beratus petugas juga telah dihantar ke pintu masuk Sekolah Agama Masriyah apabila tersebar sms yang mengatakan tempoh pengundian akan dilanjutkan sehingga jam 6.00 petang. Pesuruhjaya PAS N9 yang berada di pintu masuk Sekolah tersebut menyatakan walau apa pun yang terjadi tempoh mengundi mesti tamat pada jam 5.00 petang dan beliau telah mengarahkan petugas menahan kenderaan atau orang yang cuba masuk atau keluar dari Sekolah tersebut selepas jam 5.00 petang.

Akhirnya pada jam 6.30 petang keputusan pengiraan undi di Sekolah Agama Masriyah telah diterima dengan keputusan DSAI telah menang dengan mendapat perbezaan majoriti sebanyak 1,234 undi. Walaupun keputusan tersebut bukan lah keputusan resmi tetapi ia telah cukup untuk mengembirakan petugas PAS N9 dan juga menggegarkan "Balai Islam" Kg. Paya dengan laungan Takbir dan REFORMASI. Seorang petugas PR berbangsa Tionghua yang berada di gerai minum bersebelahan Bilik Gerakan UPU Cross Street 2 telah membelanja setiap orang yang makan dan minum di gerai tersebut sebagai meraikan kemenangan DSAI.

http://orangklawang.blogspot.com

Permatang Pauh Siri 4 & Malam Sebelum Mengundi

Jentera PAS N9 di Permatang Pauh telah menjalankan kerja-kerja semakan daftar pemilih kepada pengundi-pengundi Permatang Pauh bermula 2 hari sebelum pilihanraya. Petugas PAS N9 telah membawa komputer riba masing-masing dan kebanyakan nya dapat beroperasi secara "On-Line" terus dengan SPR melalui Broadband dan juga WIFI. Untuk memudahkan pengundi, daftar pengundi yang telah disemak, akan dicetak dan diberikan kepada pengundi.

Petugas N9 sibuk menyiapkan setting komputer dan printer untuk semakan daftar pemilih

Ramai pengundi dari Cross Street 2 dan juga pengundi dari UPU yang lain telah datang ke Bilik Gerakan UPU Cross Street 2 untuk memeriksa nama mereka dalam daftar pengundi. Hasil dari gerakerja yang dijalankan didapati ramai pengundi yang mengundi di Permatang Pauh pada bulan Mac (PRU-12) telah di pindahkan tempat mengundi. Seorang pengundi Cina telah dipindahkan tempat mengundi di kawasan Bukit Bendera Pulau Pinang walaupun pada bulan 3 beliau mengundi di Kubang Semang dalam Parlimen Permatang Pauh. Terdapat 2 orang pengundi Cina yang nama mereka hilang terus dari daftar pengundi induk SPR. Seorang penduduk kebun sayur pula mengadu bahawa kakaknya yang telah berpindah selama 30 tahun ke Hong Kong juga menerima surat dari BN untuk keluar mengundi pada 26 Ogos tersebut. Terdapat ramai lagi setelah diperiksa, nama mereka telah dipindahkan ke Parlimen Bukit Mertajam walaupun dahulu dalam PRU-12 mereka mengundi di Parlimen Permatang Pauh.

Semua dah siap sedia

Kerja-kerja semakan daftar pemilih UPU Cross Street 2 berjalan dari jam 11 pagi hingga jam 5 petang pada waktu siang nya. Oleh kerana permintaan yang menggalakkan dari masyarakat Cina semakan daftar pemilih ini juga di buka pada waktu malam dari jam 9.00 malam hingga jam 12.00 tengah malam.

Sebahagian petugas N9 mengedar risalah dihadapan Bilik Gerakan


Saudara Hu Pang Chow (Pegerusi Kelab Penyokong PAS Malaysia) bersama kawan2
beliau turut melawat Bilik Gerakan UPU Cross Street 2 pada malam sebelum mengundi.

http://orangklawang.blogspot.com

Permatang Pauh Siri 3

Petugas-petugas PAS N9 turut bersama-sama menjayakan semua aktiviti-aktiviti kempen di UPU Cross Street 2. PAS N9 berserta Cawangan PAS Kg Paya dan juga AJK UPU Cross Street 2 telah berjaya mengedarkan risalah kempen DSAI di kawasan masyarakat Cina Kebun Sayur, Permatang Rawa dan juga d Kg Paya termasuk Kg Paya Dalam.

Suasana sibuk di hadapan "Balai Islam" sebelum petugas-petugas PAS N9 keluar
merayu undi dan mengedar risalah.

Kontigen PAS N9 juga mengadakan solat hajat dan munajat pada tiap-tiap malam sebelum hari mengundi khusus memohon pertolongan ALLAH SWT untuk kemenangan DSAI dan juga bermohon kepada ALLAH SWT supaya diberikan kekuatan kepada petugas-petugas PAS N9 untuk meneruskan kerja-kerja pilihanraya di Permatang Pauh. Solat hajat dan munajat ini telah di imamkan oleh Ustaz Wan Azhar, Ustaz Nazri, Ustaz Khairul Azhar dan Ustaz Zakaria secara bergilir-gilir pada tiap-tiap malam.

Ustaz Wan sedang berbincang dengan AJK PAS Cawangan Kg Paya untuk
menentukan gerakerja kempen pilihanraya

Dato' Sri Wan Azizah juga telah mengadakan lawatan kerja ke bilik Gerakan Cross Street 2 dan turut menjamu pengundi-pengundi yang tersenarai dalam kawasan UPU Cross Street 2. Pada keseluruhannya pengundi Cross Street 2 tetap setia dengan Kak Wan dan DSAI walaupun bermacam-macam jenis rayuan, sogokan wang serta janji-janji manis yang ditaburkan oleh BN untuk membeli undi mereka.

Sebahagian petugas PAS N9 sebelum menjalankan kerj-kerja mengedar risalah
kempen DSAI di kawasan UPU Cross Street 2


Bersama Pak Andak Ad di Bilik Gerakan Permatang Rawa selepas selesai mengedar
risalah di kawasan tersebut.


Petugas Muslimat sibuk membuat persiapan makanan untuk disediakan bagi pengundi-
pengundi Cross Street 2 sempena lawatan Kak Wan ke Bilik Gerakan Cross Street 2


Muslimat PAS N9 bersiap sedia dengan risalah dan bahan kempen untuk keluar
merayu undi di Kawasan UPU Cross Street 2


Abang Bakar dari Rasah Jaya pun turun menyumbangkan tenaga. Tengok belakang
kereta beliau.Banner tempah khas.


YB Taufek ADUN Paroi (baju batik) turut bersama petugas menyusun risalah dan
bahan kempen untuk edaran.

http://orangklawang.blogspot.com