Kenapa Manusia Sering Risau Berkaitan Soal Rezeki?
Manusia di dalam hidup
mereka akan ada kerisauan tertentu. Dan kerisauan yang paling menghantui mereka
adalah berkaitan rezeki. Apabila kita tersedar dari tidur apa yang kita
fikirkan? Ya rezeki. Apabila kita berbual dengan orang sekeliling kita maka
tajuk yang banyak mengambil tempat dalam perbualan tersebut adalah berkaitan
rezeki.
“Hang kerja di mana?”
“Tender projek kat sana
baik harganye.”
“Tengah hari ni nak makan
apa?”
… dan pelbagai lagi tajuk
perbualan yang mana ia sebenarnya menunjukkan kerisauan kita terhadap rezeki.
Jika kita menilai kembali
dalam hal ini maka kita dapati ia memberi kesan yang sangat besar dalam
kehidupan insan.
Malapetaka Yang Menimpa Jiwa-Jiwa Manusia.
Daripada seorang ayah yang
merancang pelajaran anaknya kepada orang jalanan di tengah bandaraya. Mereka
ini dalam setiap langkah kehidupan mereka, perkara utama yang diambil kira
dalam setiap perancangan itu mesti berkaitan dengan maslahat mencari rezeki.
Seorang ayah yang
menghantar anaknya ke universiti untuk apa? Supaya anaknya menjadi orang yang
berkedudukan tinggi dan memperolehi rezeki yang banyak.
Seorang gelandangan pergi
ke seluruh pelusuk bandar untuk mencari apa? Rezeki. Dan kita dapat melihat
solat sunat dhuha yang paling popular dalam kalangan kita kerana ia berkaitan
dengan rezeki. Bukannya salah tetapi itulah hakikatnya.
Bahkan jika kita melihat
masyarakat yang percaya akan tok bomoh, tok pawang, pelaris, tangkal dan
lain-lain lagi semuanya berkaitan dengan rezeki. Hinggakan mereka sanggup
melakukan perkara khurafat demi menjamin rezeki mereka.
Hakikatnya, perihal rezeki
telah mengubah manusia dalam banyak perkara, perbuatannya, percakapan, malah ia
boleh mengubah akidah mereka.
Hatta jika kita melihat pada
akhir zaman ketika mana dajjal mendatangi manusia, ketika itu dajjal mengumpan
manusia dengan perihal rezeki untuk menyesatkan manusia yang tidak percaya
bahawasanya hal rezeki itu adalah urusan Allah SWT.
Daripada Abi Umamah
Al-Bahiliy apabila menceritakan khutbah Rasulullah SAW tentang dajjal,
antaranya:
“Dajjal itu
datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu
mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka
dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.”
Dan ini merupakan
malapetaka yang besar yang menghantui jiwa-jiwa manusia.
Rezeki itu Di Dalamnya Ada Jaminan Allah SWT.
Sesungguhnya penciptaan
manusia di dunia ini ada misi dan matlamatnya. Ada perkara yang perlu
dilunaskan oleh mereka. Sesungguhnya misi utama manusia diciptakan di dunia ini
adalah sebagai hamba yang tidak lain hanyalah beribadat kepada Allah SWT
seperti mana firmanNya dalam Surah
Az-Zariyat 56:
“Tidaklah Aku
jadikan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku.”
Dan hendaklah kita tahu
bahawasanya kita sebagai muslim mempunyai wasiat agung yang perlu dilaksanakan,
wasiat yang mana dikongsi bersama semua para Rasul yang diutuskan kepada kita,
manusia. Wasiat itu adalah:
“Tegakkanlah
agama dan janganlah berpecah belah dalamnya…” (Surah asy-Syura: 13)
Malangnya dek kerana
kerisauan mereka terhadap rezeki, mereka mula memalingkan matlamat utama mereka
daripada menjadi hamba Allah SWT kepada hamba yang bermatlamat kepada kekayaan
dunia yakni berkaitan rezeki.
Walhal mereka lupa
bahawasanya rezeki itu telah ditetapkan oleh Allah SWT sebelum mereka
diciptakan lagi. Dan Allah SWT menyatakan jikalau hambanya itu bertakwa
kepadaNya, maka Allah SWT akan mencukupkan rezekinya.
“Barangsiapa
yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar
dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka,
dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan
keperluannya (rezekinya).” (Surah At-Talaq ayat 2-3)
Lihat sejarah khalifah
yang agung dalam sejarah umat Islam, Umar Bin Abdul Aziz ketika beliau di
penghujung usianya, orang-orang bertanya kepada beliau: Apa yang engkau
tinggalkan untuk anak-anakmu?!”
Umar bin ‘Abdul Aziz pun
menjawab:
“Aku
meninggalkan untuk mereka ketakwaan kepada Allah… Jika mereka adalah
orang-orang yang soleh, maka sesungguhnya Allah adalah wali (pelindung) bagi
orang-orang yang soleh… Jika mereka bukan orang yang soleh, maka tidak akan aku
tinggalkan sedikitpun yang membantu mereka bermaksiat kepada Allah…”
Apabila kerajaan Umaiyyah
jatuh, semua anak Umar Bin Abdul Aziz menjadi kaya raya tetapi sebaliknya yang
berlaku kepada anak khalifah Umaiyyah yang lain walhal mereka mewarisi harta
kekayaan yang banyak. Lihat bagaimana Allah SWT memelihara rezeki orang yang
soleh.
Rezeki Merupakan Hak Mutlak Allah SWT.
Lihat usluk al-Quran yang
menyatakan bahawasanya rezeki itu bukanlah daripada bumi tetapi ia daripada
langit. Ini bagi menunjukkan bahawasanya urusan rezeki ini adalah hak mutlak
Allah SWT.
FirmanNya
dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat 22:
“Dan di
langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang
telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.”
Jika kita mengetahui
hakikat ini maka kita akan lebih tenang dalam hal rezeki kerana mereka tahu
Allah SWT itu Al-Rahman dan Ar-Rahim terhadap hambaNya.
Tetapi jika mereka tidak
mempercayai urusan rezeki itu adalah daripada Allah SWT maka kita melihat
berapa ramai yang sanggup menjadikan dirinya hamba kepada orang lain dek kerana
hal rezeki.
Kerana dia meyakini
rezekinya itu terikat dengan orang-orang tertentu walhal dia lupa bahawasanya
rezeki yang orang-orang yang dia harapkan itu juga hadir daripada Allah SWT. Bahawasanya
hal rezeki ini telah menjadikan manusia itu sempit jiwanya kerana takut kepada
manusia yang lain. Lihatlah antara doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW selepas
solat supaya kita tahu segala pemberian di dalam kehidupan kita ini adalah hak
mutlak Allah SWT:
“Ya Allah
tidak ada siapa yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa
yang dapat memberi apa yang Engkau halang dan tiada siapa yang berkuasa
memberikan manfaat selain daripada Mu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sifat tercela Dalam Diri Manusia
Manusia di dalam diri
mereka itu sifat sentiasa menginginkan lebih sama ada dalam hal kebaikan dan
keburukan. Tetapi manusia itu ada kecendungan mereka. Allah SWT menyatakan
manusia itu sifatnya zalim dan jahil terhadap diri mereka.
Walaupun mereka tahu
sifat-sifat itu akan membinasakan mereka kelak tetapi untuk membebaskan jiwa
mereka daripada sifat-sifat itu memerlukan peperangan jiwa yang panjang dan
satu tribulasi yang memenatkan. Antara sifat tersebut adalah sifat tamak dalam
bab rezeki. Rasullulah SAW bersabda:
“Andai kata
anak Adam itu telah mempunyai harta benda sebanyak dua lembah emas, mereka
masih ingin untuk mendapatkan satu lembah lagi. Tidak ada yang dapat mengisi
perutnya sampai penuh melainkan hanya tanah (maut).” (Hadis riwayat Muslim)
Lihat bagaimana tamaknya
kita, walaupun kita mempunyai rezeki yang orang kata, “Tak habis 7 keturunan”
tetapi sifat qanaah dengan rezeki Allah SWT masih tiada. Mereka itu sentiasa
inginkan lebih dan lebih walhal di sisi mereka itu dikurniakan kelapangan
rezeki. Golongan seperti ini kaya zahirnya tetapi miskin jiwanya.
Lihatlah Burung
Allah SWT menciptakan alam
ini tentunya jika kita merenung dan memerhati ciptaanNya, nescaya kita
memperolehi manfaat daripadanya. Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya melihat
dan mengambil manfaat daripada alam ciptaan Allah SWT termasuk haiwan yang
bernama burung. Ini kerana ia merupakan suatu kemuliaan bagaimana makluk Allah
SWT itu tenang dengan rezekinya. Daripada Umar bin Khattab RA., ia berkata,
Rasulullah SAW. bersabda:
“Seandainya
kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenarnya, niscaya kalian diberi rezeki,
sebagaimana burung mendapatkan rezeki, ia pergi di pagi hari dengan perut
kosong dan pulang di petang hari dengan perut yang kenyang.” (Hadith riwayat
Tirmizi)
Burung pada sisinya itu
tiada kerisauan berkenaan rezeki, kerana ia mempunyai sifat kebergantungan yang
penuh kepada Allah SWT. Walaupun ada hari yang mana ribut melanda, hujan yang
berpanjangan, dan kemarau yang teruk, hakikatnya Allah SWT menjamin rezeki
seekor burung. Kita seharusnya mempunyai hati seperti burung. Daripada Abu
Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,
“Akan masuk
syurga orang-orang yang hati mereka seperti hati burung.” (Hadith riwayat
Muslim)
Sebahagian ulama
menyatakan barangsiapa yang tidak percaya akan rezeki pemberian itu daripada
Allah SWT, sebenarnya dia tidak percaya akan kewujudan Tuhan. Oleh itu, letaklah
kebergantungan yang sepenuhnya kepada Allah SWT dalam hal rezeki nescaya kita
akan dapati diri kita akan bebas dalam banyak perkara dan ia akan membentuk
diri kita insan yang kaya dengan jiwa yang besar.
Dan itulah rezeki yang
agung. Benarlah apa yang nukilkan oleh Abu Hurairah, disabdakan oleh Rasulullah
SAW:
“Bukanlah
kekayaan itu lantaran banyaknya harta, kekayaan itu adalah kekayaan jiwa.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Artikel ditulis oleh
Muhamad Syafiq bin Salim - Johor Bahru.
C&P website iLuvislam
1 comment:
Terima kasih kerana berkongsi!
Post a Comment