SEKAPAL BELAYAR DI LAUTAN
Tamrin Tun Ghafar
Jumaat - 28/06/19
( 1 - 27 )
( 1 - 27 )
1) Walaupun 'Duit Itu Raja’ atau 'Cash Is King' namun
segala-galanya ditentukan oleh Dia Yang Maha Adil dan Berkuasa.
2) Najib dan penjilat - penjilatnya sebelum ini begitu
yakin tiada siapa yang boleh mengalahkan mereka.
3) Ketika berkuasa mereka buta sejarah yang Allah telah
dedahkan dalam Al-Quran bagaimana hebatnya Firaun, Namrud dan sebagainya, dan
sekaya-kayanya Qarun pun akhirnya tersungkur juga.
4) Dengan bantuan ALLAH SWT dan atas rayuan rakyat yang
menyokong, termasuk pemimpin - pemimpin pembangkang ketika itu, Tun pada usia
93 tahun akhirnya bersetuju mengepalai sebuah kapal yang akan menempuh badai di
lautan yang bergelora.
5) Segala - galanya terjawab apabila pada Rabu 9hb Mei
2018 majoriti rakyat telah mengambil keputusan bersejarah.
6) UMNO yang satu ketika dahulu didokong oleh 12 parti
yang lain, kini balik ke asal semula; ia tak ubah seperti parti PERIKATAN di
zaman Tunku Abdul Rahman dahulu, iatu hanya dianggotai UMNO, MCA dan MIC.
7) Akan tercatit dalam sejarah, Najib Tun Razak selaku
Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional ( BN )bertanggungjawab terhadap kekalahan
parti tersebut.
8) Jika dahulu Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ke 2 dan
Presiden UMNO dan Pengerusi PERIKATAN bersusah payah menubuhkan BN, kini atas
sebab tamak dan hawa nafsu, anaknya telah menghancurkan segala harapan murni
ayahnya itu.
9) Buat pertama kali seorang Perdana Menteri negara ini,
isteri dan Timbalannya diheret ke Mahkamah atas tuduhan rasuah dan berbagai
kesalahan yang lain.
10) Berkemungkinan besar Najib, Rosmah, Zahid Hamidi dan
ramai lagi akan disumbatkan ke dalam penjara.
11) Segala kerinduan pungguk yang merindu bulan kini mulai
terjawab.
12) Dari segi kemajuan ekonomi negara dan rakyat,
pelaksanaan janji - janji Pilihanraya dan pembersihan negara dari segala amalan
rasuah , sedang di usahakan oleh Tun secara berperingkat dan dengan amat teliti
.
13) Jika dahulu rakyat terlalu berhati - hati menyuarakan
pandangan, kini kerajaan mengalu - alukan rakyat bersuara TANPA khuatir,
asalkan ia tidak merosakkan Perlembagaan yang telah dipersetujui.
14) Perlantikan Latheefa Koya, seorang peguam yang terlalu
bencikan rasuah dan salahguna kuasa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru
adalah satu lagi bukti ketegasan Tun Dr. Mahathir bagi membersihkan negara ini
dari perbuatan keji itu.
15) Namun Latheefa perlu berwaspada terhadap beberapa
pegawai dibawahnya.
16) Pesananan orang - orang lama harus diberi pandangan
dan diambil kira.
17) Semoga ingatan itu akan membantu beliau lebih
berwaspada bagi melaksanakan segala usaha murninya.
18) Latheefa perlu berhati-hati dengan kelicikan dan
kepura-puraan beberapa orang pegawainya yang tak ubah seperti:
"Harapkan
Pegar, Pegar Makan Padi”
"Musuh
Dalam Selimut" atau "Gunting Dalam Lipatan”
"
Pepat Di Luar, Runcing Di Dalam”.
19) Tatkala berbagai tindakan diambil seperti yang
dilakukan baru-baru ini, namun beliau harus berani bertindak tegas terhadap
anai-anai yang akhirnya akan menghancurkan institusi tersebut.
20) Beliau tidak perlu melayani lalat-lalat dan
langau-langau yang kotor itu; beri tumpuan yang jitu dan bukti terhadap
tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan ikhlas dan bersungguh-bersungguh.
21) Selain rakyat kini merasa geli dan muak dengan telatah
dan kenyataan-kenyataan bodoh beberapa pemimpin PH; masing-masing
berlumba-lumba mencari publisiti murah.
22) Semoga semua pihak dalam Pakatan Harapan atau PH
HENTIKAN percakaran sesama sendiri MULAI saat ini.
23) JANGANLAH SEKAPAL BELAYAR DI LAUTAN , TAPI TIDAK
SEPERAHU KE PELABUHAN.
24) Jika tidak mahu membantu Perdana Menteri,
sekurang-kurangnya JANGANLAH berusaha menikam beliau dari belakang.
25) 'Don't Kill The Ghoose That Lay The Golden Egg’ atau
‘Jangan Membunuh Angsa Yang Bertelur Emas’.
26) JANGAN MENCURAH AIR DI TEMPAYAN SEMATA-MATA MENDENGAR
GURUH DI LANGIT.
27) BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH.
Wassalam. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment