Pembayaran
yang telah dan akan dibuat kepada Astacanggih Sdn Bhd (“Astacanggih”)
dan Awan Megah Sdn Bhd (“Awan Megah”) berjumlah RM160 juta akan
menggunapakai dana sedia ada dan pinjaman baru yang terpaksa diambil
oleh Bakti Wira Sdn Bhd (“Bakti Wira”).
Bakti
Wira adalah anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad
(“Boustead”). Saham majoriti Boustead dikuasai oleh Lembaga Tabung
Amanah Tentera (“LTAT”) iaitu sebanyak 61.36% (rujuk Laporan Kewangan Tahunan Boustead yang terkini mukasurat 212, setakat 29 Februari 2012). Saham selebihnya di dalam Boustead dipegang oleh pelabur minoriti.
Oleh
yang demikian, keputusan Dato’ Seri Zahid Hamidi mengarahkan Boustead
(melalui anak syarikat Bakti Wira) membuat pinjaman baru untuk membayar
RM160 juta kepada Astacanggih dan Awan Megah adalah keputusan yang
melibatkan kepentingan dan kebajikan anggota tentera serta pelabur
minoriti di dalam Boustead.
Sekiranya
pelaburan ini tidak baik dan membebankan Bakti Wira, ia akhirnya akan
merugikan anggota tentera dan pelabur minoriti yang terpaksa menanggung
kerugian gara-gara tindakan cemas Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahu
menutup mulut Deepak.
Bakti
Wira juga mempunyai sebuah anak syarikat yang menjalankan kerja
pembinaan iaitu Jendela Hikmat Sdn Bhd (“Jendela Hikmat”). Syarikat ini
diberikan beberapa kontrak penswastaan yang besar oleh Kementerian
Pertahanan, termasuklah projek berjumlah RM230 juta untuk membina dan
menyiapkan Kem Muara Tuang, Sarawak.
Laporan
Ketua Audit Negara 2010 mengkritik Jendela Hikmat kerana gagal
menyiapkan projek tersebut walaupun telah diberi lanjutan tempoh masa
sebanyak 3 kali. Pada ketika itu, Jendela Hikmat memberi alasan bahawa
ia berdepan dengan kesempitan kewangan akibat kenaikan kos barang
pembinaan sehingga menjejaskan projek yang dilaksanakannya.
Justeru,
sekiranya Bakti Wira terpaksa mengambil pinjaman sebanyak RM160 juta
untuk membayar Astacanggih dan Awan Megah, bebanan hutang yang baru ini
sudah tentu akan melemahkan lagi kedudukan kewangannya yang seterusnya
menjejaskan keupayaan Jendela Hikmat menyiapkan projek-projek kerajaan.
Semakan
prestasi kewangan terkini Bakti Wira yang difailkan dengan Suruhanjaya
Syarikat Malaysia mengesahkan risiko kewangan yang ditanggungnya
berikutan arahan membayar RM160 juta kepada Astacanggih dan Awan Megah.
Bakti
Wira yang mengalami kerugian sebanyak RM565,923 bagi tahun 2011 itu
terpaksa menanggung kos hutang sekurang-kurangnya RM6.5 juta setiap
tahun. Besar kemungkinan, kerugian yang dialami bagi tahun 2012 dan
tahun-tahun mendatang lebih teruk dan berpanjangan akibat hutang RM160
juta yang terpaksa ditanggungnya.
Kedudukan
kewangan Bakti Wira juga akan dilemahkan dengan hutang RM160 juta yang
terlalu besar berbanding dengan asetnya yang kecil iaitu sekitar RM50
juta sahaja. Tambahan lagi, tanah yang kononnya dibeli itu besar
kemungkinan tidak dapat dipindahmilik, menyebabkan tidak ada aset baru
yang boleh disuntik untuk mengimbangi hutang RM160 juta yang diambil
untuk membayar Astacanggih dan Awan Megah.
Maka,
keputusan membayar RM160 juta kepada Astacanggih dan Awan Megah ini
adalah keputusan yang benar-benar merugikan anggota tentera yang
menabung di dalam LTAT dan pelabur minoriti Boustead yang turut sama
terjejas.
KEADILAN
akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan bekas anggota tentera
termasuk PAHLAWAN dan KERABAT untuk menggerakkan kempen mendesak LTAT
menghentikan urusniaga ini secepat mungkin.
KEADILAN juga akan menulis secara rasmi kepada Badan Pengawas Saham Minoriti Berhad (Minority Shareholder Watchdog Group) untuk segera campur tangan di peringkat Boustead bertujuan menghentikan urusniaga ini secepat mungkin.
Desakan
dari kedua-dua kumpulan ini dan keputusan Kerajaan Selangor untuk
menghalang pemindahan tanah 200 ekar yang cuba dijual (seperti yang
diumumkan Pejabat Menteri Besar Selangor semalam) akan menghalang RM160
juta dana awam dari disalahguna bagi kepentingan peribadi Dato’ Seri
Najib Tun Razak.
Sewajarnya,
Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu berdepan dengan pelbagai tuduhan yang
dibuat oleh Deepak dan menyaman Deepak di mahkamah sekiranya tuduhan itu
tidak benar, bukannya menyalahgunakan dana awam untuk merasuah Deepak
dan Ketua Wanita Umno Selangor seperti ini.
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
31 DISEMBER 2012
*** DI PETIK DARI BLOG TUKAR TIUB
No comments:
Post a Comment